Tahan empat lelaki bongkar penemuan bubu naga
PELABUHAN KLANG - Kegiatan haram empat lelaki dipercayai menangkap ikan menggunakan bubu naga di perairan Sungai Janggut, dekat sini terbongkar selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, pada Khamis.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, bot fiber tiada nombor pendaftaran dinaiki keempat-empat lelaki itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang menerusi rondaan Op Ehsan.
Menurutnya, tangkapan terdiri empat kru termasuk tekong warga tempatan berusia antara 15 hingga 44 tahun.
"Semakan mendapati, bot itu tidak mempunyai lesen menangkap ikan.
"Tidak jauh dari kedudukan bot nelayan itu, anggota operasi berjaya mengesan satu pelampung berwarna merah yang mencurigakan di lokasi berhampiran dan pemeriksaan menemui tujuh set bubu naga diikat pada pancang kayu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bot fiber yang tidak dilesenkan.
Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.
"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!