Tunggu tempahan 12 jam, pulang tangan kosong

Banjir menjejaskan pendapatan penghantar makanan. - Foto Bernama
Banjir menjejaskan pendapatan penghantar makanan. - Foto Bernama
A
A
A

SEGAMAT - Penantian lebih 12 jam buat seorang penghantar makanan p-hailing hanya sia-sia apabila tidak menerima sebarang tempahan dalam tempoh tersebut, susulan banjir yang melanda di daerah itu.

Mazwan Abdul Rahman, 42, yang bekerja sepenuh masa sebagai penghantar makanan sejak dua tahun lepas, berkata, dia tidak mempunyai sebarang pendapatan sejak daerah itu dinaiki air pada Selasa.

"Saya cuba mencari laluan lain selepas dua hari tidak keluar bekerja dan apabila sampai di jalan menghala bandar Segamat, kawasan itu masih dipenuhi air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan terutamanya motosikal.

"Memandangkan keadaan cuaca mendung hari ini (Khamis), saya menunggu selama 12 jam di laluan ini yang menghubungkan Segamat Baharu, IOI, Kampung Jawa dan beberapa kawasan lain, dengan harapan akan mendapat pesanan menghantar makanan, namun hampa,” katanya yang tinggal di sekitar Bandar Segamat.

Mazwan berkata, walaupun kini beberapa laluan sudah mula dibuka kepada kenderaan ringan, namun kedai makan yang terjejas akibat banjir di kawasan Segamat masih ditutup.

Beliau berkata, kejadian banjir itu, menjejaskan pendapatannya yang selama dua hari yang boleh mencecah RM150 hingga RM200 sehari.

Seorang lagi penghantar makanan yang mengalami nasib sama, Mohd Norshamir Hamidi, 24, berkata, selepas dua hari banjir melanda Segamat, dia juga mengambil peluang untuk keluar bagi meninjau keadaan dan berharap ada pesanan yang akan diterimanya.

"Sejak pagi saya keluar dengan harapan ada pesanan yang akan diterima, tetapi hampa kerana kedai di bandar Segamat masih banyak yang tutup dan penduduk sekitar terjejas dengan banjir.

"Saya bekerja sebagai penghantar makanan ini sepenuh masa dan setiap hari pendapatan saya RM150, oleh kerana situasi ini (banjir), pendapatan saya terjejas,” katanya.

Tinjauan Bernama di Jalan Muar-Segamat pada Khamis mendapati, sekumpulan penghantar makanan berkumpul di Jambatan Lama Segamat bagi menunggu air surut di laluan tersebut, susulan air Sungai Segamat yang melimpah di kawasan itu.

Rata-rata mereka menunggu dan mencuba 'nasib' untuk meredah banjir, selepas dua hari terkandas untuk melakukan pekerjaan sebagai penghantar makanan, selepas kawasan Segamat lumpuh akibat hujan lebat berterusan sejak malam Isnin.

Pemerhatian di bandar Segamat pada Khamis juga mendapati, beberapa pemilik kedai termasuk hotel membersihkan premis mereka selepas air banjir mulai surut. Segamat merupakan antara 10 daerah di Johor yang terjejas teruk akibat banjir sejak Isnin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!