Pelaburan Amazon: Pacu pertumbuhan positif sektor ekonomi digital
SHAH ALAM - Pengumuman penyedia perkhidmatan awan Antarabangsa, Amazon Web Services (AWS) untuk melabur kira-kira RM25.5 bilion dalam tempoh 15 tahun di Malaysia diyakini akan membantu pertumbuhan positif sektor ekonomi digital di negara ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan itu juga bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat-syarikat besar tetapi juga turut melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Pelaburan berbentuk pembangunan dan infrastruktur ini amat positif buat negara kita bukan sahaja dari segi teknologi tetapi juga turut memberi peluang kepada syarikat kita (di Malaysia) lebih terlibat dalam sektor ekonomi digital terutamanya PKS.
"Kita sedang melihat perkara ini dan saya akan bekerjasama rapat dengan AWS, malah hubungan (dengan AWS) sebenarnya sudah terjalin sejak dua tiga tahun lepas semasa saya memegang portfolio lain (Kementerian Kewangan) sebelum ini dan saya rasa ini (pelaburan) sangat positif untuk Malaysia," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dengan pelaburan bernilai tinggi itu, Tengku Zafrul berkata, pihaknya masih menunggu jumlah akhir yang akan dinilai nanti.
Malah katanya, komitmen AWS itu juga diyakini akan menarik lebih ramai pelabur luar lain untuk melabur di negara ini.
"Seperti yang kita tahu teknologi awan adalah salah satu sektor penting (dan) pusat digital (yang ada di negara ini) tidak mencukupi untuk menyokong pertumbuhan dan pelaburan ini pastinya akan menarik pelabur luar untuk turut melabur di Malaysia," katanya.
Selain itu katanya, ia secara tidak langsung turut membuka lebih banyak peluang untuk menarik lebih banyak pekerja terlibat dalam sektor berkenaan seiring dengan keperluan untuk melahirkan lebih ramai pekerja dalam sektor berkenaan.
"Pelaburan ini akan memberi lebih banyak peluang kepada bakat-bakat di Malaysia untuk ambil bahagian dalam ekonomi digital," katanya.
Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan negara dijangka menyaksikan peningkatan yang lebih besar dalam transformasi digital dan kepercayaan digital di kalangan masyarakat, dipacu oleh pelaburan baharu daripada AWS bernilai RM25.5 bilion dalam tempoh 15 tahun untuk infrastruktur serantau baharunya di Malaysia.
Beliau berkata, pelaburan teknologi antarabangsa terbesar setakat ini di dalam negara seterusnya akan membawa kepada inovasi dan pelaburan yang lebih signifikan di Malaysia, sekali gus mendorong negara untuk benar-benar menjadi pusat data dan hab digital Asia Tenggara untuk rantau ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!