NSRC berperanan bantu mangsa penipuan dalam talian

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) bertujuan membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penubuhan NSRC belum diketahui secara meluas dalam kalangan masyarakat walaupun mendapat sambutan baik.

"Saya juga dimaklumkan masih ada segelintir masyarakat yang ragu-ragu dengan nombor hotline 997 yang disediakan NSRC untuk orang ramai membuat aduan.

“Nombor talian 997 diperkenalkan oleh NSRC yang diketuai Bank Negara Malaysia (BNM) dan dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 pada Jumaat.

Selain PDRM dan BNM, ia turut menggabungkan kerjasama bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan National Anti-Finacial Crime Centre (NFCC) sebagai inisiatif membendung penipuan secara dalam talian

Acryl Sani berkata, tujuan nombor talian itu adalah untuk mengurangkan kesan penipuan yang dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap mangsa.

"Mana-mana individu yang terpedaya dan sudah melakukan transaksi, boleh membuat panggilan di talian 997 untuk pihak berkuasa mengambil tindakan menyekat aliran keluar wang dalam akaun terbabit.

“Setakat ini, waktu operasi NSRC dari jam 8 pagi hingga 8 malam, namun orang ramai yang membuat panggilan pada jam 10 malam, tiada respon daripada NSRC.

“Sehubungan itu, kita akan mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi NSRC itu sehingga 24 jam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!