Guna bekas jus buah taktik terkini edar dadah di Sarawak

Mohd Azman (dua dari kanan) mengumumkan kejayaan Polis Sarawak membanteras pelbagai kesalahan dadah dalam 'Op Tapis' pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak (IPK) pada Jumaat. - Foto: Bernama
Mohd Azman (dua dari kanan) mengumumkan kejayaan Polis Sarawak membanteras pelbagai kesalahan dadah dalam 'Op Tapis' pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak (IPK) pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

KUCHING - Taktik membungkus semula dadah dalam bekas jus buah-buahan menjadi modus operandi terbaharu yang dikesan digunakan pengedar di Sarawak bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, modus operandi itu terbongkar sewaktu Ops Tapis Khas Siri 2/2023 yang dijalankan dari 27 Februari hingga 1 Mac (Rabu) lepas di seluruh negeri.

"Menurut siasatan, bekas itu dihantar menerusi kurier dari Semenanjung kemudian dibawa ke sini dan diubah suai, dipek semula serta memberi gambaran di luar (bekas seolah-olah) ia ialah jus betik, mangga dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Mohd Azman berkata dalam operasi melibatkan 164 serbuan serta 304 pemeriksaan itu, pihaknya berjaya menahan 282 individu termasuk 14 wanita berusia lingkungan 17 hingga 63 tahun, dengan rampasan pelbagai dadah bernilai lebih RM277,000.

Katanya rampasan dadah tertinggi dikesan di Miri iaitu RM100,080, diikuti Sibu (RM65,389.10) dan Kuching (RM55,275.00).

Beliau turut memaklumkan dalam tempoh 1 Jan hingga 28 Februari tahun ini, polis Sarawak telah melakukan 2,266 tangkapan membabitkan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM3.4 juta dan menyita harta berjumlah kira-kira RM814,900. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!