Warga emas ditemui maut dalam kereta selepas banjir surut

Mohd Azahari Mukhtar
Mohd Azahari Mukhtar
A
A
A

KUANTAN - Seorang warga emas maut akibat lemas di dalam keretanya yang ditemukan di ladang kelapa sawit di jalan utama Felda Selancar 2, Rompin, selepas banjir surut.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan Abdullah Satar, 73, yang merupakan peneroka di Felda itu pada 6.40 petang Khamis.

"Berdasarkan siasatan awal, keluarganya mendakwa mangsa hilang selepas keluar rumah sejak Rabu lepas dan gagal dihubungi menyebabkan mereka mencarinya, namun gagal.

"Anak mangsa mendakwa dihubungi rakannya yang memaklumkan kereta Proton Iswara mangsa dijumpai dalam ladang itu dengan mangsa di dalamnya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Azahari berkata, polis bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta dibantu penduduk berjaya mengeluarkan mayat mangsa.

Beliau berkata, bedah siasat di Hospital Muadzam Shah, Rompin malam Khamis mengesahkan kematian Abdullah adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!