Banjir: Pahang hulur bantuan keperluan asas kepada Johor
KUANTAN - Kerajaan Pahang menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas bernilai hampir RM80,000 untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Johor.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan berupa alas tidur (toto), tikar, kit penjagaan diri dan lampin pakai buang itu dihantar ke negeri itu pada Jumaat.
Menurutnya, misi bantuan banjir itu sentiasa dilakukan bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di negeri lain.
"Sebelum ini, kita juga hantar bantuan untuk mangsa banjir di Terengganu dan Selangor.
"Kali ini ke Johor bagi membantu meringankan mangsa banjir di sana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Pahang Prihatin ke Johor di Depoh Keperluan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan, Pengarah JKM Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.
Wan Rosdy berkata, bantuan itu sebagai satu sokongan moral kepada rakyat Johor yang berdepan bencana itu.
"Sebagai sebuah negeri yang sering dilanda banjir, kita faham kesulitan yang dihadapi mereka.
"Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir di Johor yang terjejas," katanya.
Sementara itu katanya, bekalan keperluan asas dan makanan untuk mangsa banjir di negeri ini tidak berdepan sebarang masalah.
"Semuanya diuruskan dengan baik dan tidak timbul isu bekalan lambat sampai dan sebagainya..
"Semua pihak telah memberi perhatian dan mengambil tindakan sewajarnya dalam membantu mangsa banjir di negeri ini termasuk di Rompin yang paling teruk terjejas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!