Segera pindah, trend air dijangka meningkat di Kota Tinggi

Keadaan premis kedai di bandar Kota Tinggi yang landa banjir. Gambar kecil: Tahrin
Keadaan premis kedai di bandar Kota Tinggi yang landa banjir. Gambar kecil: Tahrin
A
A
A

KOTA TINGGI - Orang ramai diminta berpindah segera ke pusat pemindahan sementara memandangkan trend air terus menunjukkan peningkatan di kawasan bandar Kota Tinggi.

Sejak Rabu, Kota Tinggi menerima taburan hujan agak tinggi menyebabkan paras air Sungai Johor di kawasan bandar meningkat dan melimpah.

Pemangku Ketua Zon Dua Johor, Timbalan Penguasa Bomba II, Tahrin Saat berkata, anggotanya telah mengambil langkah awal dengan melakukan rondaan di kawasan paling terjejas banjir di bandar Kota Tinggi.

Anggota tentera membantu mengawal laluan keluar masuk ke kawasan bandar Kota Tinggi.
Anggota tentera membantu mengawal laluan keluar masuk ke kawasan bandar Kota Tinggi.

"Kita tengok trend air meningkat di bandar Kota Tinggi kerana lokasinya berhampiran Sungai Johor. Arus sungai juga amat laju dan deras ditambah hujan berterusan.

"Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga menjangkakan trend ini berterusan sehingga Sabtu.

"Paras air banjir antara 0.5 hingga 1.5 meter dan akan meningkat jika hujan berterusan dan empangan-empangan dibuka," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Keadaan banjir di bandar Kota Tinggi.
Keadaan banjir di bandar Kota Tinggi.

Menurut beliau, anggotanya kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga akan digerakkan bagi membantu mangsa banjir.

"Anggota bomba kini diletakkan dalam syif seramai 20 orang anggota yang akan kerja secara bergilir bagi tempoh 24 jam. Selain itu itu dua trak, enam buat bot dan tiga utiliti turut digunakan dalam operasi membantu mangsa banjir," katanya.

Justeru, orang awam diingatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan tidak bermain air banjir.

"Jangan biarkan anak-anak bermain air kerana takut dibawa arus. Setakat ini Johor sudah merekodkan tiga kematian akibat banjir," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!