100 Hari: PM Anwar serlah kemampuan urus negara
KUALA LUMPUR - Sejak menerajui Kerajaan Perpaduan pada 24 Nov 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyerlahkan kemampuannya untuk mengurus negara dengan baik menerusi pelbagai usaha dan strategi.
Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, kerajaan Anwar berjaya menarik perhatian rakyat dengan menyediakan beberapa inisiatif yang menumpukan kepada golongan susah termasuk B40.
Tinjauan di Cherok Tok Kun dan Permatang Pauh, Pulau Pinang mendapati rata-rata individu yang ditemui menyifatkan apa yang diusahakan Perdana Menteri sepanjang lebih tiga bulan mentadbir negara sebagai sesuatu yang membanggakan.
Peniaga kedai makan, Mohd Fahmi Mohd Noor, 45, berkata, Anwar mengambil tindakan pantas dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif dan program dalam usaha membantu rakyat yang memerlukan.
"Kita tengok sebaik sahaja Anwar jadi Perdana Menteri, beliau terus ambil langkah segera untuk bantu rakyat dan seterusnya melalui pembentangan belanjawan baru-baru ini juga, pelbagai inisitiaf diberikan kepada rakyat bagi membantu kami, antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
"Saya rasa STR kali ini lebih tersasar kepada golongan yang sepatutnya iaitu mengambil kira mengikut jumlah anak bagi setiap isi rumah, malah Menu Rahmah juga antara inisiatif yang bagus untuk golongan kurang berkemampuan berbelanja membeli makanan," katanya.
Dia berkata, peniaga kecil juga tidak ketinggalan mendapat bantuan menerusi pengumuman belanjawan itu dan beliau percaya ia dapat membantu meningkatkan perniagaan penjaja serta perusahaan kecil.
Mohd Fahmi berkata, dia percaya lebih banyak lagi inisiatif akan diperkenalkan oleh Anwar pada masa hadapan demi membantu rakyat yang terjejas selepas pandemik COVID-19.
Sementara itu, Norhasfizah Mustaffa, 40, berkata, dalam pelbagai usaha dan program yang diperkenalkan oleh Anwar, beliau begitu tertarik dengan konsep MADANI iaitu antara usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurutnya, seperti diketahui, Anwar sejak dulu lagi mementingkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dan apabila menjadi Perdana Menteri beliau terus memperkenalkan konsep itu.
"Saya gembira dengan konsep Madani ini kerana ia boleh memupuk semangat kesatuan, perpaduan serta kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia, ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan negara dari pelbagai segi," kata jurutera di sebuah kilang di Perai itu.
Sementara itu, pelajar universiti awam di Ipoh, Perak, Nuriah Jamal, 19, berkata, terdapat beberapa perubahan dalam negara semasa 100 hari pentadbiran Anwar sebagai pemimpin nombor satu negara dan ia dapat dilihat ketika pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lepas.
Nuriah berkata, antaranya tawaran kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 yang dilihat membantu meringankan beban golongan muda di negara ini.
"Inisiatif ini merupakan inisiatif tahunan kerajaan. Jadi, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban belia seperti kami, yang sedia maklum memerlukan duit yang banyak bagi membayar kos sara hidup,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya.
Aktivis alam sekitar Hafizudin Nasarudin, 35, pula memuji Anwar kerana turut memberi fokus terhadap isu alam sekitar apabila memberikan peruntukan tambahan RM150 juta setahun bagi Pindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada kerajaan negeri, berbanding RM70 juta tahun lepas.
"Selain daripada itu, pengenalan Menu Rahmah juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban orang ramai terutamanya golongan B40. Dalam tempoh 100 hari ini, terdapat pelbagai hasil baik yang perlu dipuji dan diharapkan momentum ini berkekalan dan ditambah baik,” kata pengundi Parlimen Tambun itu.
Pemerhatian di media sosial mendapati rakyat menyambut baik inisiatif pemulihan ekonomi yang dijalankan terutamanya Menu Rahmah yang bukan sahaja menguntungkan pembeli malah mampu memberikan keuntungan luar biasa kepada peniaga berdasarkan hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Facebook Kamal Hero Malaya.
"Hasil Menu Rahmah, mencanak penjualannya. Belum cukup bulan lagi tapi gaji pekerja dah boleh kira dan cukup siap siap. Kalau sebelum ni 1hb baru nak kira. Alhamdulillah. Rupanya dalam rahmah itu ada sedekah...rahsia Allah yang kita tidak tahu. Terima kasih Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya.
Sementara itu, terdapat juga pihak menyokong ketegasan Ahli Parlimen Tambun itu yang konsisten memerangi gejala rasuah yang disifatkan beliau sebagai barah yang perlu dirawat demi pembangunan negara.
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Raja Gelap berkata, Anwar sebagai susuk tubuh yang lantang menentang permasalahan integriti itu adalah pemimpin yang amat diperlukan pada masa kini bagi mengelakkan ketirisan pendapatan negara.
"Pada mata perasuah, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang teruk. Tapi pada mata kami rakyat, inilah Perdana Menteri yang kami mahu. Berpuluh tahun lamanya duit rakyat dijarah. Kali ini baru keadilan tertegak. Siapa benci Datuk Seri Anwar, maka dialah si perasuah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!