Persiapan singkat bukan alasan - Cheng Hoe
PARA peminat bola sepak di Lembah Klang berpeluang menyaksikan aksi sengit Liga Super yang bakal menemukan Selangor FC dan Sri Pahang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.
Skuad Gergasi Merah yang mencatat kemenangan kedua selepas membenam Kuching City FC 5-0 di Sarawak pada Khamis pasti ingin konsisten dengan momentum tersebut dalam aksi yang dijadualkan bermula pada jam 5.30 petang itu.
Begitu juga Sri Pahang yang dibimbing pengendali dari Singapura, Fandi Ahmad mengalahkan Kelantan FC 4-1 di Kuantan pada Khamis enggan pulang tangan kosong.
Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan pertembungan kedua-dua pasukan sebagai satu perlawanan yang menarik.
Beliau berkata, cabaran besar juga buat para pemain kerana berdepan dengan tempoh persiapan singkat iaitu cuma dua hari selepas aksi di Kuching pada Khamis.
“Kita ada dua hari sahaja untuk membuat persiapan. Kita tahu (Sri) Pahang pun menang 4-1 ke atas Kelantan. Jadi saya rasa ia satu perlawanan yang baik.
“Kita bersedia untuk (Sri) Pahang walaupun kedua-dua pasukan ingin mencari kemenangan ketiga dalam perlawanan itu nanti,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Negeri, Kuching itu menyaksikan Noor Al-Rawabdeh menyumbat dua gol selain Ayron Del Valle, Brendan Gan dan Danial Asri turut mencatat nama selaku penjaring.
“Kita tidak jangka boleh menang 5-0. Secara keseluruhan, pemain-pemain menunjukkan disiplin yang tinggi atas padang, baik semasa menyerang mahupun bertahan sebagai pasukan.
"Itulah yang kita perlu kekalkan untuk pasukan terus konsisten," kata Cheng Hoe.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!