NRECC sedia memperkukuh usaha pemuliharaan hidupan liar

Konflik manusia dan hidupan liar boleh menyebabkan pelbagai masalah antaranya kemusnahan tanaman dan kehilangan nyawa. - Gambar hiasan
Konflik manusia dan hidupan liar boleh menyebabkan pelbagai masalah antaranya kemusnahan tanaman dan kehilangan nyawa. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan memperkukuhkan usaha pemuliharaan hidupan liar di habitat asal bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif dan meminimumkan konflik antara manusia dan hidupan terbabit.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, konflik manusia dan hidupan liar boleh menyebabkan pelbagai masalah antara kemusnahan tanaman dan lebih teruk lagi kehilangan nyawa.

"Mengikut rekod, seramai 25 orang telah meninggal dunia dan 270 orang mengalami kecederaan akibat diserang oleh hidupan liar pada tahun 2018 sehingga 2022.

"Tempoh sama juga turut merekodkan keseluruhan anggaran kerugian akibat serangan spesies utama hidupan liar pula adalah berjumlah RM43.3 juta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, antara usaha memulihara dan memelihara hidupan liar adalah melalui penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646].

Turut dilaksanakan pelantikan renjer komuniti dan Operasi Bersepadu Khazanah di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti.

Dalam pada itu, Nik Nazmi menjelaskan pengukuhan operasi penguatkuasaan telah berjaya merampas pelbagai produk hidupan liar.

“Antaranya gading gajah, sumbu badak, sisik tenggiling dan kayu Red Sanders yang cuba diseludup melalui Malaysia sebagai destinasi transit,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sambutan pada tahun ini sangat bermakna kerana ia sama dengan ulang tahun ke-50 Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).

Malaysia merupakan ahli kepada CITES sejak 18 Januari 1978.

“CITES bertanggungjawab memastikan perdagangan antarabangsa spesies fauna dan flora terancam tidak menjejaskan kemandirian spesies di samping meningkatkan keberkesanan usaha pemeliharaan hidupan liar di habitat,” jelasnya.

Sebelum ini, negara telah menyenaraikan Burung Barau-barau ke Apendiks I CITES dan Burung Murai Batu dalam Apendiks II CITES di 19th Meeting of the Conference of the Parties to CITES pada tahun lepas.

Usaha berkenaan jelas menunjukkan bahawa kerajaan peka dalam memastikan hidupan liar negara dilindungi agar tidak diancam kepupusan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!