Lelongan barang kemas dalam talian
IKMa lancar CODE-TeKAD yang beri manfaat kepada 1.5 juta pembida
KUALA LUMPUR - Institut Koperasi Malaysia (IKMa) melancarkan sistem lelongan barang kemas dalam talian yang dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 1.5 juta pembida seterusnya memberi potensi pulangan lebih besar kepada koperasi terlibat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, sebanyak 20 koperasi yang menjalankan aktiviti perniagaan Ar-Rahnu di bawah Program Pengukuhan Digital Koperasi - Teknologi e-lelong Koperasi Alternatif Dagangan (CODE - TeKAD) digabungkan di bawah platform yang dinamakan CODE-TeKAD Sistem Lelongan Barang Kemas Dalam Talian.
Menurutnya, barangan emas yang tidak terjual akan dilelong melalui sistem tersebut sekali gus memudahkan ahli-ahli koperasi terlibat mendapat manfaat, selain aksesnya yang turut dibuka kepada awam.
"Sejumlah 487 koperasi terlibat dengan aktiviti perniagaan Ar-Rahnu dan buat permulaan kita gabungkan 20 koperasi dan kebanyakan yang terlibat ini adalah koperasi antara 100 koperasi terbesar yang mana telah pun memberikan pulangan lebih RM5 juta setahun.
"Barangan emas (daripada aktiviti perniagaan Ar-Rahnu koperasi terlibat) yang tidak terjual akan dilelong melalui sistem ini.
"Melalui sistem ini kita memberi kemudahan kepada lebih ramai ahli. Sekiranya barangan tersebut tidak dapat dilanggan oleh ahli-ahli, mereka akan membuka kepada koperasi-koperasi yang lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Hi Tea Pelancaran Sistem Coperative Digital Empowerment Teknologi e-Lelong Koperasi Alternatif Dagangan Emas Ar-Rahnu di sini pada Khamis.
Justeru beliau mensasarkan sekurang-kurangnya 20 lagi penglibatan koperasi di bawah platform e-lelong berkenaan menjelang hujung tahun ini.
"Beberapa koperasi lain mungkin pada ketika ini masih tidak memerlukan sistem ini kerana emas mereka boleh dijual dengan mudah dan dalam jumlah yang agak sedikit.
"Tapi apabila mereka tahu program ini saya rasa kita boleh meningkatkan sasaran sekurang-kurangnya dua kali ganda supaya sistem ini menjadi lebih berkesan," katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan hanya proses membida dilaksanakan secara dalam talian, manakala urusan jualan masih dijalankan secara fizikal sekali gus mengekang sebarang kegiatan penipuan pembelian emas dalam talian yang sering berlaku ketika ini.
"Kalau kita lihat koperasi ini masih bertanggungjawab. Ia dipantau oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dibandingkan dengan syarikat-syarikat luar yang kita tidak tahu asal usulnya.
"Ia dipantau oleh kerajaan di bawah akta koperasi dan bukan mudah untuk berlaku penipuan dalam kalangan ahli," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!