Johor perlu bantuan petugas Persekutuan, negeri tidak banjir
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sehingga jam 1 petang, semua 10 daerah telah dilanda banjir sehingga menjejaskan lebih 33,000 mangsa banjir.
Beliau berkata, semua agensi kini sedang berhempas pulas untuk membantu dan sejak banjir berlaku Isnin lepas, ramai antara petugas sudah mula keletihan kerana ada yang di antara mereka tidak tidur selama tiga hari, namun masih tetap bersemangat.
"Saya simpati melihat keadaan petugas-petugas kita. Saya juga minta tambahan daripada segi jentera atau pun petugas-petugas daripada negeri-negeri lain yang tidak terlibat banjir, contohnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya,” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1 pada Jumaat.
Ketika ditanya berkenaan bantuan yang didakwa lewat tiba, Onn Hafiz berharap agar mangsa-mangsa banjir bersabar kerana semua agensi telahpun digerakkan bermula hari pertama banjir, namun terdapat kelewatan disebabkan jumlah mangsa yang terlalu ramai.
Onn Hafiz berkata, bantuan kini telah banyak yang sudah tiba di PPS namun sekiranya masih ada yang terkurang ia akan diselesaikan segera, selain menghargai sumbangan daripada pihak badan bukan kerajaan dan syarikat persendirian.
"Pelarasan untuk bantuan akan dilakukan setiap hari, selain kita turut mendapat bantuan daripada NGO, syarikat swasta dan individu, yang membantu daripada segi pakaian dan makanan.
"Kita ucapkan jutaan terima kasih dan untuk rakyat Johor secara keseluruhan kekal bersabar, tenang, dan juga tabah dalam ujian yang cukup getir ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!