Tiga warga emas terperangkap di rumah dipindahkan
KOTA TINGGI - Tiga warga emas terdiri daripada pasangan suami isteri dan anaknya diselamatkan selepas rumah mereka di Kampung Tembioh dinaiki air.
Moi Chan, 63; ibunya, Lim Lan Yeng, 87, dan bapa, Sam Ah Peng, 91, dipindahkan menaiki bot bomba pada tengah hari Jumaat.
Menurut Moi Chan, rumahnya dinaiki air hampir mencecah paras satu meter sejak Rabu.
"Ibu dan ayah tidak boleh berjalan meredah banjir kerana paras air agak tinggi berbanding tahun sebelumnya.
"Tahun lepas, kami sekeluarga masih boleh meredah banjir berpindah ke rumah saudara. Saya berterima kasih kerana anggota bomba datang membantu kami berpindah," katanya.
Pemangku Ketua Zon 2 Johor, Timbalan Penguasa Bomba II Tahrin Saat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan meminta bantuan memindahkan ketiga-tiga warga emas terbabit.
"Kampung Tembioh yang terletak bersebelahan di Sungai Johor menyebabkan limpahan air berlaku dengan pantas. Keadaan banjir juga agak berarus.
"Anggota bomba sentiasa bersiap sedia menggerakkan operasi menyelamat sekiranya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!