Aaron-Wooi Yik fokus All England
JUARA bertahan beregu lelaki dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meletakkan All England 2023 sebagai fokus utama mereka dalam tiga siri kejohanan Eropah bulan ini.
Biarpun mengunci mulut mengenai sasaran mereka, Aaron sebaliknya berharap agar dapat 'meloloskan diri' sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.
Ia bermula dengan kejohanan Terbuka Jerman pada 8 hingga 13 Mac diikuti All England 2023 (14 hingga 19 Mac) dan Terbuka Swiss (21 hingga 26 Mac).
Aaron berkata, mereka bakal turun sebagai pilihan pertama di Terbuka Jerman akan menjadikan kejohanan tersebut sebagai medan persediaan untuk tampil lebih meyakinkan pada All England, yang juga kejohanan badminton tertua dunia itu.
"Persediaan daripada segi fizikal dan kecergasan semua okay. Walaupun kami pilihan utama di Terbuka Jerman, namun kami harap ia tak beri tekanan kepada diri dan cuba buat yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pada Jumaat.
Pasangan nombor dua dunia yang mendapat 'bye' pada pusingan pertama Terbuka Jerman itu, dijadual bertemu sama ada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau gandingan Jepun Akira Koga-Taichi Saito, pada pusingan kedua.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 itu, akan membuka tirai cabaran All England 2023 menentang pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, manakala pasangan tuan rumah Arthur Boudier-Minh Quang Pham menanti mereka pada pusingan pertama Terbuka Swiss di Switzerland.
Mengenai cabaran dari Leo-Daniel di All England, Aaron berkata, mereka perlu berwaspada dengan peningkatan prestasi pasangan Indonesia itu, biarpun mempunyai rekod bersih dengan menang kesemua empat perlawanan sebelum ini, sejak kali pertama bertemu pada Terbuka Thailand 2021.
"Kita tahu bukan senang nak lawan mereka, walaupun pernah bertemu sebelum ini tetapi kita akan lawan dan bersedia 100 peratus," katanya.
Mengulas cabaran dalam kategori mereka, beliau mengakui kesemua pasangan yang berada dalam kedudukan 30 terbaik, mampu memberi saingan sengit antara satu sama lain termasuk pasangan utama dunia lain.
Pemain berusia 26 tahun itu pada masa sama berharap agar beliau dan Wooi Yik dapat mengekalkan konsistensi, sekali gus berada dalam kelompok lapan terbaik dalam ranking dunia sebelum kempen kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis bermula Mei ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!