Peniaga terpaksa naik harga sayur, ikan

Kenaikan harga tidak menghalang orang ramai membeli barangan keperluan seperti ikan. (Gambar kecil: Muhammad Amiruddin, Muhammad Syukri, Raja Putra, Roslan, Sujeono)
Kenaikan harga tidak menghalang orang ramai membeli barangan keperluan seperti ikan. (Gambar kecil: Muhammad Amiruddin, Muhammad Syukri, Raja Putra, Roslan, Sujeono)
A
A
A

JOHOR BAHRU – Orang ramai terutamanya golongan peniaga di pasar, mengakui terpaksa menaikkan harga jualan masing-masing, susulan peningkatan harga daripada pihak pembekal ketika ini.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Borong Pandan pada Jumaat, mendapati rata-rata peniaga mengakui memang berlaku sedikit kenaikan bagi harga barangan basah seperti ikan, ayam, daging termasuk sayur-sayuran ketika ini.

Bagi peniaga ikan, Muhammad Syukri Salle Huddin, 21, ketika ini bekalan ikan masih ada, cuma harganya mengalami sedikit kenaikan berbanding sebelum ini.

Katanya, kenaikan itu disebabkan bekalan yang agak terhad daripada pembekal, terutamanya bagi beberapa jenis ikan.

“Kalau dari segi ikan, bekalannya kebanyakannya ikan laut, masih ada lagi, cuma yang tak ada (terhad) harga tinggi sikit sebab pembekal pun letak harga tinggi.

“Yang ada pun ikan bela atau ikan kolam (ikan air tawar) sebab ikan laut memang agak kurang buat masa ni.

“Tapi, insya-ALLAH, dalam dua tiga hari nanti bila hujan dah reda, bekalan akan ada seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi penjual sayur, Muhammad Amiruddin Alawi, 35, kenaikan harga bagi sayur-sayuran ketika ini memang tidak dapat dielakkan.

Katanya, kenaikan berkenaan berikutan harga yang sedikit tinggi daripada pihak pembekal ketika ini.

“Memang terkesan jugalah sebab sayur (penanaman) ikut cuaca, jadi bila kurang bekalan, supplier (pembekal) pun kurang hantar bekalan (sayur).

“Jadi harga kena naiklah... memang susah, sebab pembekal pun naikkan harga sekarang ni,” katanya.

Menurut peniaga ayam, Sujeono, 36, bekalan masih boleh diperoleh seperti biasa daripada pembekal dengan kadar harga yang berpatutan.

Bagaimanapun katanya, masalah lain pula yang timbul apabila pelanggan yang berkunjung agak berkurangan berbanding sebelum ini.

“Bagi saya, (bekalan) ayam tak ada masalah... harga pun tak mahal dan tak murah juga sekarang ini.

“Cuma, masalahnya, masa hujan macam ni, customer agak kurang..mungkin selepas hujan nanti, customer akan lebih ramai,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Raja Putra Raja Abdullah, 58, harga ikan di pasaran ketika ini dilihat menunjukkan peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus.

Bagaimanapun katanya, kenaikan berkenaan mungkin disebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut seperti biasa.

“Bagi saya, ikan memang ada kenaikan sebab nelayan tak turun ke laut atau mungkin ada tempat-tempat yang banjir.

“Jadi, harga ikan ini naik, tapi macam mana pun, kita perlukan ikan, jadi kena beli jugalah,” katanya.

Sementara itu, bagi Roslan Aziz, 46, memang berlaku kenaikan terutamanya bagi harga ikan, ayam, daging dan sayur pada musim hujan ketika ini.

Justeru katanya, peniaga sewajarnya letakkan tanda harga sebagai kemudahan kepada orang ramai untuk membuat pembelian kesemua barangan berkenaan.

“Ada sesetengah tempat tak letak tanda harga... inilah masalah kepada kita sebagai pengguna untuk buat bajet perbelanjaan kita.

“Sayur kita fahamlah masalah sekarang ni hujan... tapi harga memang agak tinggilah sekarang ni,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!