Johor dijangka terima hujan luar biasa hingga akhir Mac
KLUANG - Johor terutama kawasan timur dan selatan dijangka akan menerima jumlah hujan yang luar biasa susulan berlaku peralihan musim monsun ke cuaca panas sehingga akhir bulan ini.
Pengarah Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Ir Ts Dr Mohd Fadhil Md Din berkata, Johor pada masa kini, menerima kadar purata hujan 200 milimiter (mm), lebih banyak berbanding 100mm pada hari biasa.
"Sekarang sudah masuk peralihan musim. Kita jangkakan Mac hingga April, kita akan terima hujan, selepas tu masuk April hingga Mei yang membawa udara panas di sebabkan fenomena El Nino.
"Peralihan musim monsun pada tahun ini telah mengakibatkan perubahan cuaca yang drastik, sekali gus menyebabkan kita menerima hujan lebih banyak,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Justeru, Mohd Fadhil berkata, agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan perlu mempergiatkan usaha dan mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan impak risiko banjir seperti membersihkan longkang-longkang dan parit serta menyediakan pelan kontingensi kawasan liputan banjir termasuk pendalaman sungai utama atau tebatan banjir
"Jika kita lihat banjir di kawasan luar bandar seperti di Chaah, Segamat, kebanyakan rumah yang ditenggelami banjir, kerana terletak berdekatan dengan sungai.
"Sungai yang telah menjadi cetek terutamanya disebabkan pembangunan, perlulah didalamkan semula bagi menampung air hujan yang banyak selain memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik,” katanya.
Setakat 4 jam petang Jumaat, jumlah mangsa banjir di Johor mencecah seramai 32,870 orang yang ditempatkan di 219 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!