Disyaki pengedar ganja, enam suspek ditahan

Sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner berwarna perak disita setelah polis menahan tiga lelaki di kawasan parkir sebuah kondominium Sri Damansara, dekat sini.
Sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner berwarna perak disita setelah polis menahan tiga lelaki di kawasan parkir sebuah kondominium Sri Damansara, dekat sini.
A
A
A

PETALING JAYA - Enam suspek tempatan ditahan polis dalam dua tangkapan berasingan pada Isnin kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam tangkapan pertama, polis memberkas tiga lelaki setelah sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner berwarna perak ditahan di kawasan parkir sebuah kondominium Sri Damansara, dekat sini.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan yang dinaiki suspek berusia 25 hingga 27 tahun sekitar jam 6.30 petang itu membolehkan pihak polis menjumpai dua ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 2,035 gram.

Menurutnya, polis turut merampas satu rangkai kunci mengandungi dua anak kunci berserta key-chain.

Polis merampas dadah jenis ganja dan beberapa bahan bukti lain setelah membuat serbuan pertama di kawasan parkir sebuah kondominium Sri Damansara, dekat sini.
Polis merampas dadah jenis ganja dan beberapa bahan bukti lain setelah membuat serbuan pertama di kawasan parkir sebuah kondominium Sri Damansara, dekat sini.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannbinol.

"Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati seorang suspek mempunyai satu rekod di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983, manakala dua lagi suspek tidak mempunyai rekod lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu bagi tangkapan kedua, Mohamad Fakhrudin berkata, tiga lelaki tempatan berusia 25 hingga 31 tahun turut ditahan di sebuah rumah di Sungai Buloh, Selangor kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja.

Katanya, serbuan jam 7.45 malam itu dibuat setelah mendapat maklumat daripada tangkapan pertama di Sri Damansara pada hari sama.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis menemukan dadah jenis ganja seberat 2,893 gram.

Tambahnya, tiga buah kenderaan jenis Isuzu D-Max, Proton Saga serta Perodua MyVi disita daripada serbuan tersebut.

Polis merampas dadah jenis ganja dan beberapa bahan bukti lain setelah membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Sungai Buloh, Selangor pada Isnin.
Polis merampas dadah jenis ganja dan beberapa bahan bukti lain setelah membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Sungai Buloh, Selangor pada Isnin.

Jelasnya, ujian saringan awal air kencing ke atas dua suspek didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannbinol, manakala seorang lagi suspek negatif dadah.

Katanya lagi, ketiga-tiga suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod lampau.

Tambah Mohamad Fakhrudin, hasil analisa untuk dua rampasan dadah jenis ganja ini boleh dibekalkan kepada lebih kurang 1,000 orang penagih.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM12,320 dan nilai sitaan berjumlah RM117,000.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (1)(a) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!