Ladang Sinergi tingkat hasil ikan sangkar
LENGGONG - Inisiatif Program Ladang Sinergi dibangunkan Jabatan Perikanan Malaysia(DOF) di Tasik Temenggor di sini berjaya menjana hasil pengeluaran ikan bernilai RM14.72 juta sejak tahun 2011 sekaligus menjadi satu revolusi industri perikanan berimpak tinggi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata inisiatif program Ladang Sinergi itu adalah berasaskan ternakan ikan dalam sangkar, tetapi menggunakan sistem ternakan moden dipanggil HDPE Polar Circle Cages.
Menurutnya, selaras dengan Revolusi Industri 4.0, projek ini mengaplikasikan teknologi automasi termasuk Internet of Things (IoT) dengan menggunakan kamera litar tertutup(CCTV) dan perkhidmatan wifi untuk memantau aktiviti di sangkar.
"Sangkar juga mempunyai 'paddle wheel' disokong dengan sistem solar dan alat memantau kualiti air secara automatik yang mempunyai sistem pengesan bagi bacaan oksigen terlarut (dissolved oxygen).
"Terdapat 5 modul telah dibangunkan, dan setiap modul mempunyai 20 unit bilangan sangkar berdiameter 20 meter yang mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 50 tan metrik setiap sangkar.
"Spesis ikan diternak adalah tilapia GIFT (tilapia genetik diperbaharui) dan Genomar Supreme Tilapia (GST) yang mempunyai model 'traceable' tilapia melalui teknologi penanda DNA," katanya kepada selepas mengadakan lawatan kerja di Ladang Sinergi Tasik Temenggor, di sini hari ini.
Tze Tzin berkata, terkini seramai enam peserta Synergy Farming(SG) yang aktif menjalankan aktiviti ternakan ikan sangkar berjaya diwujudkan melalui program Ladang Sinergi dan mampu meraih pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan.
Menurutnya, kesemua peserta dilatih beberapa sebuah syarikat peneraju terpilih bagi memastikan operasi sangkar mengikuti standard pengurusan operasi ditetapkan.
"Hasil ternakan peserta pastinya akan dibeli balik syarikat berkenaan dengan harga dipersetujui kedua-dua pihak.
"Sebanyak 3,800 tan metrik tilapia bernilai RM14.72 juta telah dihasilkan dari program ini yang bermula pada 2011. Hari ini, kita menyaksikan sebanyak 43 tan metrik hasil ikan bernilai RM193,500 telah dituai dari sebuah sangkar," katanya.
Tze Tzin berkata, hasil ternakan ini diproses untuk dijadikan produk ‘fillet’ bagi pasaran eksport ke luar negara seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah(EU) serta negara-negara Asia seperti Singapura dan Taiwan.
Selain itu, beliau menegaskan sebanyak 20 peratus hasil ikan ini juga dipasarkan di pasaran tempatan dalam bentuk ikan hidup, sejuk beku dan fillet.
"Matlamat program ini bertujuan mewujudkan usahawan berdaya saing di dalam bidang perikanan khususnya akuakultur melalui pemindahan teknologi terkini dan moden kepada peserta.
"Pada masa sama, kerajaan turut menggalakkan usahawan-usahawan ini menghasilkan produk perikanan berkualiti melalui pengamalan Good Aquaculture Practices (GAP).
"Hasrat kerajaan melalui program ini semestinya bertujuan menyumbang kepada pengeluaran akuakultur negara dan juga peningkatan pendapatan peserta Ladang Sinergi yang terlibat secara langsung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!