Gempa bumi Turkiye: Gelagat burung selamatkan sebuah keluarga

Gelagat luar biasa burung peliharaan memberi petunjuk kepada tujuh sekeluarga untuk menyelamatkan diri. - Foto: Twitter @intermarium24
Gelagat luar biasa burung peliharaan memberi petunjuk kepada tujuh sekeluarga untuk menyelamatkan diri. - Foto: Twitter @intermarium24
A
A
A
KAHRAMANMARAS - Gelagat luar biasa burung peliharaan memberi petunjuk kepada tujuh sekeluarga untuk berwaspada dan menyelamatkan diri mereka daripada gempa bumi bermagnitud 7.8 yang menggegarkan bandar ini pada 6 Februari lepas.

Siham Suraj Ali, 55, berkata, gempa bumi yang menggegarkan selatan dan tengah Turkiye, selain daripada utara dan barat Syria dikesan pada awalnya apabila burung-burung peliharaan beliau yang ditempatkan di ruang tamu berkelakuan luar daripada kebiasaan.

Bercakap dengan bantuan penterjemah tempatan Mohammad Abdul Latif daripada sebuah badan bukan kerajaan Turkiye ATAA Relief, Siham berkata, apabila melihat bagaimana gelagat burung-burungnya, dia mengarahkan isterinya untuk membawa keluar tiga anak perempuan dan dua anak lelakinya daripada rumah untuk berada di halaman.

"Sejurus kemudian, gempa bumi berlaku tetapi kesemua ahli keluarga telah menyelamat diri masing-masing di luar. Rumah kami yang terletak di tingkat bawah tanah rosak di bahagian dalam,” katanya.

Kediaman mereka terletak di tingkat bawah tanah sebuah apartmen kecil lima tingkat, tidak begitu terjejas cuma terdapat kesan retak dan pecah-pecah di seluruh bahagian rumah itu.

Bimbang dengan gempa bumi yang mungkin berlaku lagi, dia menerima khemah sementara yang diberikan pihak berkuasa dan mendirikannya di halaman apartmen.

Siham berkata, sebelum gempa bumi itu, dia mendengar bunyi kuat di bawah kediamannya seperti bunyi sebuah peluru berpandu Scud yang dilancarkan semasa tinggal di utara Aleppo, Syria di bawah pemerintahan rejim Basyar Al-Assad.

Ditanya mengapa dia berhijrah ke Turkiye pada 2013, pekerja binaan itu berkata, sebelum ini pekan yang didiami keluarganya diserang dengan peluru berpandu tetapi pada masa itu dia masih ingin kekal menetap di sana.

"Saya datang ke sini pada 2013 kerana tentera rejim itu akhirnya memasuki pekan kediaman saya dan saya mahu keluarga saya selamat. Suatu hari nanti saya mungkin kembali ke Syria,” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata, pekan itu pertamanya mesti berada dalam keadaan selamat supaya keselamatan keluarganya terjamin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!