Wanita warga emas korban keempat banjir di Johor
SEGAMAT - Seorang wanita warga emas menjadi mangsa korban keempat banjir di Johor selepas ditemukan meninggal dunia di tepi longkang di Batu Anam, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa berusia 68 tahun itu ditemukan jirannya selepas dilaporkan tidak berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tah Kang, Gemas Baharu di sini.
Menurutnya, mangsa yang tinggal seorang diri di Batu Anam itu ditemukan berhampiran rumahnya yang turut dinaiki air banjir.
"Mangsa ditempatkan di PPS itu tetapi jiran mendapati dia tiada dan mencari sehingga membawa kepada penemuan mayat wanita itu.
"Kita akan siasat kenapa mangsa keluar dari PPS dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, di sini malam Jumaat.
Kamarul Zaman berkata, setakat ini empat mangsa korban banjir telah direkodkan di Johor dengan satu di Kluang dan tiga di Segamat.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dalam menghadapi situasi banjir yang melanda negeri ini.
Beliau juga mengingatkan keadaan cuaca hujan masih berlaku di negeri ini sekali gus memberi 'ancaman' banjir walaupun hujan tidak lebat.
"Lebih 4,000 anggota polis dikerahkan bagi operasi banjir sekitar Johor dan kita turut menerima bantuan daripada Pasukan Gerakan Am dan agensi keselamatan lain," katanya.
Kamarul Zaman berkata setakat 10 malam ini, 20 laluan sekitar negeri ini masih ditutup untuk semua jenis kenderaan manakala 11 laluan masih dibuka untuk kenderaan berat sahaja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!