Kerajaan perlu dengar pendapat mahasiswa

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk mendengar pendapat dan suara hati pemegang taruh iaitu golongan mahasiswa terlebih dahulu sebelum membenarkan penubuhan cawangan parti politik di kampus setiap universiti.

Pengasas dan Pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai berkata, cadangan tersebut akan memberi dua perspektif berbeza dalam kalangan anak muda sama ada positif atau negatif.

Katanya, hanya mereka yang mengetahui keperluan cadangan tersebut di universiti.

THARMA PILLAI
THARMA PILLAI

“Secara peribadi, dengan situasi sekarang ia sesuai dilaksanakan di kampus kerana dapat membantu mahasiswa terlibat secara langsung dalam dunia politik sekali gus memacu demokrasi yang lebih segar.

“Namun, pokok pangkalnya tanya dahulu tahap keselesaan mahasiswa dengan pembaharuan yang bakal dilakukan oleh kerajaan walaupun kita tahu gerakan mahasiswa dengan politik sudah lama wujud,” ujarnya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menolak kemungkinan akan mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan penubuhan cawangan parti politik di kampus selari dengan agenda pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kelonggaran itu juga selaras dengan usaha untuk menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan amalan politik matang terutamanya melibatkan golongan muda.

Bagaimanapun Tharma turut berpendapat, terdapat kesan negatif dengan pelaksanaan cadangan tersebut.

“Kita risau, perbezaan ideologi akan memecahbelahkan mereka sedangkan universiti adalah tempat untuk menuntut ilmu.

“Selain itu, penglibatan anak muda dalam arena parti politik di luar juga perlu diberi ruang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!