Hujan sangat lebat berterusan di Pahang, Johor hingga esok
KUALA LUMPUR - Hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya diramal melanda Pahang dan Johor sehingga esok.
Menurut amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dikeluarkan pada jam 8.55 pagi ini kawasan terlibat di Pahang ialah Rompin manakala di Johor membabitkan Segamat, Kluang serta Mersing.
Selain itu, hujan berterusan tahap buruk juga diramalkan berlaku hingga esok di Pekan, Pahang dan beberapa kawasan di Johor meliputi Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Hujan berterusan tahap waspada pula diramalkan berlaku hingga esok di tiga negeri melibatkan Pahang (Maran, Kuantan dan Bera), Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin) serta Melaka.
Sementara itu, amaran waspada juga dijangka di beberapa daerah di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu) pada Sabtu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!