Pilihan Tun M tidak tepat, kata Mursyidul Am Pas
MARANG - Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menganggap pilihan Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebagai tidak tepat.
Menurut Hashim, ini kerana bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu memilih tempat bergantung yang sudah reput sedangkan masih ada parti kukuh lain yang memperjuangkan kepentingan Melayu, agama Islam, raja-raja dan Perlembagaan.
“Saya rasa tidak berapa tepat (Dr Mahathir sertai Putra) kerana bukan dasar parti tidak elok tapi dahannya sudah reput, tempat pergantungan tidak kemas sedangkan ada dahan lain yang lebih hebat.
“Kenapa dia tidak boleh fikir,” katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah pada Majlis Taujihat Pimpinan Sempena Hari As-Sabiqun di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, malam Jumaat.
Dr Mahathir pada Rabu secara sah menyertai Putra dan telah dilantik sebagai penasihat setelah beliau mengumumkan keluar daripada Pejuang pada 10 Februari lalu.
Hashim juga berpendapat penyertaan Dr Mahathir tidak mampu menguatkan Putra kerana bekas Ahli Parlimen Langkawi itu kalah ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Jelas beliau, Perikatan Nasional (PN) sentiasa bersifat terbuka menerima bekas pemimpin atau mana-mana pihak yang mahu menyertai gabungan itu.
Bagaimanapun katanya, Dr Mahathir tidak pernah menyuarakan hasrat untuk bersama PN.
“Saya tiada dengar hasrat (sertai PN) tapi kita terbuka dan boleh bincang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!