PSG hilang khidmat Neymar
PENGENDALI Paris St Germain (PSG), Christophe Galtier mengesahkan Neymar akan terlepas dua perlawanan seterusnya bertemu Nantes dan perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich kerana kecederaan buku lali.
Pemain antarabangsa Brazil itu diusung keluar padang semasa PSG menang 4-3 ke atas Lille pada 19 Februari lalu sebelum disahkan mengalami kecederaan ligamen buku lali.
Galtier merancang untuk mengisi tempat Neymar dengan pemain tengah dan bukannya penyerang lain, seperti yang dilakukannya dalam kemenangan 3-0 ke atas Olympique de Marseille minggu lalu.
"Tidak mempunyai dia (Neymar) adalah satu kerugian besar, tetapi mungkin kami boleh menambah seorang lagi pemain tengah untuk mengimbangi pasukan.
"Kerja dua penyerang saya (Lionel Messi dan Kylian Mbappe) dan tiga pemain tengah saya adalah luar biasa di Marseille. Tanpa Neymar, kami akan bersama tiga pemain tengah dan dua penyerang," katanya.
Penyandang juara Ligue 1 itu juga berhasrat untuk menukar keputusan defisit 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di tempat lawan di Bayern Munich pada Khamis ini, tetapi keutamaan diberikan Galtier terlebih dahulu untuk perlawanan liga pada Ahad menentang Nantes.
"Skuad kami dilemahkan dengan penggantungan dan kecederaan, kami perlu bekerja keras sepanjang liga.
"Saya harap pemain tidak memikirkan perlawanan menentang Bayern. Adalah penting untuk mendapatkan kemenangan liga ketiga berturut-turut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!