Tak mustahil Haaland tinggalkan City
REAL Madrid kekal sebagai pasukan idaman bagi mana-mana pemain bola sepak, kata ejen penyerang Manchester City, Erling Haaland, Rafaela Pimenta.
Haaland telah menjaringkan 33 gol yang luar biasa untuk City musim ini – empat lebih banyak daripada pemain lain di lima liga terbaik Eropah selain mencipta beberapa rekod bersama City.
Walaupun berada dalam musim pertama perjanjian lima tahun di Stadium Etihad, pemain antarabangsa Norway itu terus dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Pengurus City, Pep Guardiola sebelum ini menafikan laporan bahawa Haaland mempunyai klausa pelepasan dalam kontraknya yang membolehkannya menyertai Madrid pada penghujung musim depan.
Tetapi ejen Haaland tidak menolak kemungkinan perpindahan ke kota Sepanyol itu boleh berlaku ketika ditanya mengenai masa depan pemain berusia 22 tahun itu di Sidang Kemuncak FT Business of Football di London.
"Ada Liga Perdana, dan ada Real Madrid. Real Madrid mempunyai sesuatu yang tersendiri yang menjadikannya pasukan impian para pemain.
"Madrid mengekalkan keajaiban ini. Mereka tidak mempunyai saingan liga setiap minggu, tetapi mereka juga mempunyai Liga Juara-Juara," katanya.
Pimenta berkata, bekas bintang Borussia Dortmund itu sudah tahu kelab mana yang akan disertainya selepas ini.
"Kita perlu membuat perancangan, kita perlu mempunyai matlamat. Mungkin kita tidak akan mencapainya, tetapi jika kita tidak tahu ke mana kita akan pergi, maka pastinya kita tidak akan sampai ke sana," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!