Penempatan haram PATI ada surau, kedai runcit

Sebahagian rumah PATI yang dibina.
Sebahagian rumah PATI yang dibina.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan pada Jumaat asalnya hanya tempat tinggal pekerja binaan warga Indonesia yang bekerja di beberapa projek di kawasan sekitar.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka terus menetap di situ selepas projek perumahan siap dengan sebahagian besar permit kerja mereka sudah tamat tempoh.

Malah kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar(1 ekar) yang berhampiran dengan tangki air itu dipercayai sudah wujud dalam tempoh kurang lima tahun.

Tinjauan Sinar Harian bersama beberapa media di kawasan berkenaan mendapati, laluan ke penempatan itu lebih mudah diakses namun jalan menuju ke kawasan penempatan itu agak berbukit, namun tidak terlalu berbahaya.

Haiwan ternakan seperti itik kelihatan di kawasan rumah PATI.
Haiwan ternakan seperti itik kelihatan di kawasan rumah PATI.

Sebaik sampai di lokasi, kelihatan beberapa rumah kayu seakan rumah kongsi didirikan di situ selain turut mempunyai haiwan peliharaan seperti itik, ayam dan monyet.

Tanaman seperti ubi, pisang, pandan dan betik dapat dilihat ditanam di kawasan rumah.

Meskipun lokasi itu telah diserbu pihak berkuasa, masih kelihatan beberapa individu tinggal di situ.

Seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Raji, 54, memberitahu, hanya tinggal 12 orang saja di situ selepas yang lain ditahan pihak berkuasa.

Dia memberitahu tinggal di situ sejak tujuh bulan lalu selepas diarahkan majikannya dan bekerja sebagai buruh membuat longkang.

Katanya, rumahnya dibina sendiri dan menggunakan air dari bukit serta generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

PATI juga menggunakan air dari bukit serta generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.
PATI juga menggunakan air dari bukit serta generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Seorang lelaki berusia 32 tahun pula memberitahu, dia memilih tinggal di situ dengan bapa saudara kerana lebih jimat dan tidak perlu membayar sewa.

Tinjauan di lokasi juga mendapati ada penghuni yang memiliki kereta dan difahamkan di situ turut mempunyai kemudahan kedai runcit dan surau.

Pengarah JIMNS berkata, Kennith Tan Ai Kiang berkata, hasil siasatan mendapati majoriti warga asing yang tinggal di situ merupakan beragama Islam.

"Berdasarkan siasatan mereka tinggal di situ kerana ada yang bekerja di kawasan berhampiran tetapi bila projek selesai, mereka terus tinggal di situ.

"Sebelum ini, ada antara mereka yang memang bekerja secara sah tetapi apabila permit tamat, mereka terus menetap dan kami tahan mereka atas kesalahan tinggal lebih masa," katanya.

Berkenaan tempoh penempatan itu, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan, namun berdasarkan pandangan peribadinya ia dipercayai dibina dalam masa kurang lima tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!