[VIDEO] Lebih 300 mangsa rugi RM100 juta ditipu skim pelaburan saham
KUALA LUMPUR - Lebih 300 individu terdiri daripada pesara, penjawat awam, kakitangan swasta dan peniaga mendakwa kerugian kira-kira RM100 juta akibat terperdaya dengan penipuan skim pelaburan saham yang disertai mereka sejak 2021.
Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hamid, 67, berkata, wang persaraannya berjumlah lebih RM50,000 lebur gara-gara pelaburan tersebut.
"Skim pelaburan ini bertindak bijak dengan meyakinkan saya bahawa skim pelaburan ini patuh syariah, menyebabkan saya yakin untuk menyertainya.
"Hasil wang simpanan dan persaraan saya laburkan sekaligus. Awalnya, dalam beberapa bulan, saya ada terima dividen dalam jumlah tertentu, namun sejak sekitar Mei 2022, wang dividen yang patut saya terima tak masuk," katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Sabtu.
Hamid berkata, dia cuba menghubungi pihak berkenaan untuk meminta penjelasan, namun alasan yang diberikan tidak masuk akal.
"Mereka maklumkan bahawa pelaburan di luar negara ada mengalami kerugian mengakibatkan wang dividen yang sepatutnya kami dapat terganggu dan pelbagai alasan lain, semua itu pada peringkat awal.
"Kemudiannya, mereka yang terlibat itu bertindak mendiamkan diri, mengakibatkan saya berasa tertipu," katanya.
Seorang lagi mangsa yang merupakan seorang guru dikenali sebagai Saliza, 30, berkata, dia tidak menyangka boleh tertipu dengan skim pelaburan saham itu.
"Saya ini seorang yang amat teliti, selain selalu semak dahulu sebelum menyertai apa-apa pelaburan, saya tak sangka, dengan ketelitian saya itu, saya turut menjadi mangsa.
"Wang yang saya labur lebih RM30,000 lesap begitu sahaja, tanpa saya nikmati pulangan yang sepatutnya. Semua ini gara-gara keyakinan dan kepercayaan tinggi yang saya letakkan pada pelaburan ini, akhirnya memakan diri saya," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
"Mangsa memaklumkan bahawa mereka telah ditawarkan untuk membeli saham melalui Islamic Redeemable Shares (RPS-i) ke atas suatu syarikat berhad yang berdaftar.
"Syarikat berhad tersebut juga memaklumkan bahawa mereka telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui Information Memorandum bahawa jumlah minimum RPS-i yang dijual adalah sebanyak 250,000 unit dengan nilai RM1 bagi 1 unit," katanya.
Katanya, jumlah pembelian saham RPS-i tersebut adalah sebanyak 250,000 unit saham dan bagi pembelian kurang daripada 250,000 unit, pembelian hendaklah dibuat melalui suatu syarikat pengumpul dana pelaburan yang telah dilantik oleh syarikat berhad tersebut.
"Terdapat beberapa pakej pembelian saham ini, yang membezakan pakej adalah tempoh matang pegangan saham tersebut yang bermula dari 12 bulan sehingga ke 60 bulan untuk tempoh matang pegangan saham," katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa menyatakan bahawa mereka tertarik dengan tawaran apabila dijanjikan dengan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun atau 1.8 peratus setiap bulan.
"Masalah mula timbul apabila mangsa tidak lagi menerima bayaran dividen bermula pada Mei 2022 dan seterusnya dimaklumkan bahawa syarikat berhad tersebut akan membuat penebusan awal ke atas unit saham yang dibeli.
"Syarikat berhad tersebut memaklumkan bahawa mereka memerlukan lanjutan masa untuk membuat penyelesaian ke atas penebusan awal tersebut, pembayaran dividen yang tertunggak dan juga pembayaran pampasan kepada mangsa," katanya.
Ujar beliau, namun begitu, tidak ada apa-apa bayaran yang diterima oleh mangsa semenjak dari Mei 2022 sehingga ke hari ini.
"Apa yang kita kesalkan mangsa-mangsa ini ada yang melaburkan seluruh wang simpanan milik mereka, bayangkan seluruh wang mereka lebur.
"Jadi kita harapkan tindakan tegas diambil dan dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam penipuan ini sekaligus mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!