Muat naik video kes bicara Najib, polis siapkan kertas siasatan
KUANTAN - Pihak polis kini sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada peguam negara bagi tindakan selanjutnya.
"Setakat ini tiada perkembangan, tetapi kita sedang siapkan kertas siasatan.
"Laporan polis sudah dibuat tentang prosiding terbabit," ujarnya ringkas.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Markas Briged Tenggara Pusat Gerakan Am (PGA) Kem Bukit Galing, hari ini.
Turut hadir pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar.
Pada majlis itu, seramai 222 pegawai dan anggota polis dari PGA dari zon Pantai Timur yang berkhidmat semasa darurat sehingga tahun 1990 menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara.
Pada Khamis lalu, video berdurasi dua minit 12 saat bertajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ yang memaparkan rakaman peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi, tular menerusi media sosial.
Difahamkan, rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas pegawai khas Najib, Isham Abdul Jalil, pada tengah hari kelmarin dan sudah ditonton lebih 227,000 kali, selain dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook serta mendapat lebih 1,900 komen.
Rakaman CCTV itu dipercayai sedutan prosiding hari kelima Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Isham pertahan tindakan muat naik rakaman video
Terdahulu, Isham mempertahankan tindakan beliau memuat naik rakaman prosiding perbicaraan hari kelima bekas Perdana Menteri itu di akaun Facebooknya.
Isham turut mempersoalkan sama ada terdapat dalam peraturan mahkamah menyatakan tidak boleh memuat naik transkrip rakaman mahkamah (CRT) perbicaraan awam di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!