Empat ADUN tetap hadir Sidang DUN Isnin ini

Afif (kiri) mengadakan sidang akhbar di Ibupejabat Gerakan Pulau Pinang pada Sabtu.
Afif (kiri) mengadakan sidang akhbar di Ibupejabat Gerakan Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang gagal halang usul kosong kerusi akan tetap hadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan Isnin ini.

ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berkata, bagaimanapun sekiranya usul tersebut diluluskan oleh Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang, kesemua mereka daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu perlu keluar dari Dewan.

Menurutnya, kehadiran mereka itu adalah untuk mempertahankan amalan sistem demokrasi di Pulau Pinang.

"Usul tersebut telah sampai kepada semua ADUN dengan notis 14 hari sebelum bersidang untuk dibahaskan. Ada beberapa perkara yang perlu diluluskan oleh Dewan, termasuk usul kosongkan kerusi. Kami akan hadir dan kalau diikutkan, jika diluluskan, memang (kami) kena keluar.

"Tetapi tengok lah dulu, (kami) nak keluar atau tidak. Ini kerana, undang-undang ini daripada awal dibuat pada waktu yang salah. Ketika diwartakan pada 2012, di peringkat Pusat sudah ada keputusan bahawa akta lompat parti dikira tidak berperlembagaan (ketika itu).

"Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dipinda ketika itu (2012) tetapi kerajaan negeri memilih untuk meluluskan sahaja di peringkat DUN. Kemudian apabila dicabar di mahkamah, mereka bertindak nak mengosongkan kerusi kami," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Gerakan Pulau Pinang pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.

Bekas Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani itu menambah, banyak kelompangan yang dikesan pada pindaan akta tersebut terutamanya ia tidak memberi kuasa kepada Speaker untuk mengarahkan kerempat-keempat kerusi DUN tersebut dikosongkan.

"Selain itu, definisi tindakan lompat parti juga tidak jelas. Pindaan akta itu di peringkat negeri juga dilihat tidak sama dengan peringkat Persekutuan yang baharu diluluskan di Parlimen pada tahun lalu. Kerajaan negeri sepatutnya membetulkan pindaan akta di Pulau Pinang selari dengan Persekutuan.

"Bagaimanapun, apa yang dilakukan kerajaan negeri di bawah DAP, adalah bawa usul kosongkan kerusi kami, ikut undang-undang yang tidak sama dengan undang-undang kerajaan Persekutuan sekarang. Lebih hipokrit, Ketua Menteri, ADUN Bagan dan ADUN Pantai Jerjak memilih definasi tersebut di peringkat Persekutuan tetapi berbeza di peringkat negeri.

"Jadi di mana tahap moral yang kita pakai sekarang? Sebab itu kenapa kita merasakan Akta Lompat Parti di Pulau Pinang telah disalahguna oleh pemain-pemain politik yang ada kuasa," katanya.

Afif turut mendakwa kerajaan negeri melaksanakan undang-undang sendiri yang jelas tidak adil dan menafikan pilihan rakyat.

"Isu ini bukan ke atas individu, bukan ke atas kami berempat. Kami tak apa, pilihan raya negeri dah nak dekat, terpulang kepada rakyat, jika kami bertanding semula, kalau rakyat nak pilih, rakyat akan pilih. Kerana kami selalu percaya kepada mandat rakyat.

"Bagaimanapun, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri ketika ini adalah mereka merampas mandat rakyat. Mereka yang putuskan siapa yang perlu ada dalam Dewan. Ini yang masalah kerana yang memilih kami semua (40 ADUN) adalah rakyat.

"Mereka (kerajaan negeri) pula yang rampas kerusi dan nak biar kerusi itu kosong. Tak cukup dengan itu dia tak bagi peruntukkan, disekat daripada menghadiri mesyuarat, sekarang nak rampas pula kami daripada nak wakili suara rakyat di kawasan kami," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Sidang DUN yang dijadual Isnin ini akan membentangkan satu usul bagi tujuan pengosongan empat kerusi DUN berkenaan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.

Ia berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Sementara itu, Dominic turut mempertikai usul pengosongan kerusi empat ADUN pembangkang pada sidang DUN Isnin ini yang disifatkan dwi standard dan tidak adil.

Katanya, dalam kes melibatkan Khaliq Mehtab dan Zolkifly, kedua-dua ADUN berkenaan merupakan ahli Bersatu ketika mereka memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan masih kekal ahli Bersatu sehingga kini.

Dalam pada itu, Afif dan Zulkifli pula dipecat daripada parti mereka iaitu PKR sekali gus tidak boleh dianggap tindakan melompat parti seperti mana disebut dalam akta yang diluluskan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!