KPDN, MAFS bincang atasi kenaikan harga sayur

Salahuddin (kiri) bertanya khabar kepada salah seorang manga banjir di PPS Dewan Orang Ramai Parit Yaani pada Sabtu.
Salahuddin (kiri) bertanya khabar kepada salah seorang manga banjir di PPS Dewan Orang Ramai Parit Yaani pada Sabtu.
A
A
A

BATU PAHAT – Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mengadakan perbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) berhubung kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perbincangan berkenaan akan diadakan secepat mungkin dalam usaha mengatasi isu berkenaan.

“Kita dah mula dapat laporan...sudah pasti bila berlaku musim tengkujuh hujan lebat luar jangka ini, pastinya banyak kebun-kebun sayur yang musnah.

“Jadi, pihak KPDN bersedia dan akan adakan perbincangan dengan MAFS dalam usaha untuk mengatasi isu ini,” katanya pada Sabtu.

Untuk rekod, hujan berterusan sejak beberapa hari lalu dikhuatiri memberikan kesan terhadap penanaman sayur di negeri ini.

Malah, ia dikhuatiri akan turut mempengaruhi dan menyebabkan berlakunya kenaikan harga bagi sayur-sayuran di pasaran.

Sementara itu, Salahuddin berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kenaikan harga sayur di pasaran.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tetap bersedia untuk menerima laporan berhubung kenaikan berkenaan dalam tempoh sehari dua ini.

“Setakat ini belum ada laporan kenaikan harga kerana selepas musim tengkujuh yang lepas, harga sayur dah turun mendadak; tapi kita bersedia untuk terima laporan satu hari dua ini.

“Lagi pun, di Johor sahaja dah empat hari hujan tanpa henti... itu yang kita kena bersedia,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!