Pemilihan UMNO: Abu Bakar tak pertahan jawatan
MELAKA - Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah tidak mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti kali ini.
Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, keputusan menarik diri satu pengorbanan besar yang dilakukan untuk bahagian itu sekali gus memberi laluan kepada muka baharu, Shahrin Muharam menang jawatan itu tanpa bertanding.
Menurutnya, meskipun tindakan yang dilakukan itu di saat akhir, namun beliau percaya ia mampu memperkukuhkan semangat persaudaraan dalam kalangan ahli bahagian itu.
"Keputusan yang beliau buat ini menunjukkan Datuk Abu Bakar berjiwa besar kerana memberi laluan kepada Ketua Cawangan Terendak Permai untuk menjawat jawatan itu.
"Kita juga berterima kasih kepada bendahari bahagian, Datuk Abd Rahman Bakar yang menarik diri dan memberi laluan kepada penyandang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Sazali Muhd Din menang tanpa bertanding," katanya ketika ditemui di Baitul Tariq di Klebang Permai di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, ini merupakan pertandingan sihat dengan semangat kekeluargaan yang tinggi dan berharap mereka yang menawarkan diri dalam pemilihan 18 Mac ini dapat menggunakan kreativiti sendiri untuk meraih sokongan agar parti itu dapat menarik kepercayaan generasi muda.
Pemilihan kali ini turut menyaksikan Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara bakal berdepan satu lawan satu dengan ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian itu.
Selain itu, isteri kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, Datin Seri Fadilah Abdullah bertanding jawatan Ketua Wanita Bahagian berdepan penyandang jawatan itu, Datuk Noradibah Abdullah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!