Pemilihan MCA pusat pada 24 September
KUALA LUMPUR - Pemilihan MCA 2023 di peringkat pusat akan diadakan pada 24 September ini manakala yang melibatkan sayap Pemuda dan Wanita pula ditetapkan pada 23 September depan, kata Setiausaha Agung parti itu, Datuk Chong Sin Woon.
Beliau berkata, proses penamaan calon bagi kesemua jawatan termasuk kedua-dua sayap akan diadakan pada 11 September ini.
"Segala maklumat berkenaan pemilihan parti akan dipaparkan di laman sesawang http://mcape.mca.org.my untuk rujukan semua ahli yang akan bertanding,” katanya pada sidang media selepas sambutan ulang tahun ke-74 MCA pada Sabtu.
Sin Woon berkata, pemilihan MCA 2023 dimulakan dengan peringkat cawangan pada bulan depan di seluruh negara dan proses penamaan calon pada 20 April dengan pemilihan melibatkan kedua-dua sayap ditetapkan selama dua hari bermula 29 April manakala bagi peringkat cawangan pada 30 April.
Beliau berkata, proses penamaan calon di peringkat bahagian termasuk kedua-dua sayap pula akan diadakan pada 1 Jun manakala pemilihan ditetapkan selama dua hari bermula 10 Jun ini.
"Penamaan calon bagi Pemuda dan Wanita negeri pula adalah pada 27 Julai dengan pemilihan Pemuda dilaksanakan pada 5 Ogos dan Wanita pada 6 Ogos,” katanya.
Proses pemilihan parti dibuat mengikut Perkara 167 Perlembagaan MCA yang memperuntuk ia perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!