14,426 pesakit buah pinggang jalani dialisis tahun lalu

Dr Zaliha Mustafa (dua dari kiri) diberi penerangan mengenai replika buah pinggang oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat ) UKM, Profesor Datuk Dr Norazah Nordin (kiri) ketika hadir pada program penutup Hari Buah Pinggang Sedunia di Kampung, Felda Sendayan pada Sabtu. - Foto: Bernama
Dr Zaliha Mustafa (dua dari kiri) diberi penerangan mengenai replika buah pinggang oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat ) UKM, Profesor Datuk Dr Norazah Nordin (kiri) ketika hadir pada program penutup Hari Buah Pinggang Sedunia di Kampung, Felda Sendayan pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 14,426 pesakit buah pinggang menjalani perkhidmatan dialisis di hospital kerajaan sepanjang tahun lepas, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,574 pesakit mendapatkan rawatan secara hemodialisis manakala 5,852 adalah menerusi dialisis peritoneal.

"Rawatan dialisis dilakukan selepas pesakit buah pinggang berada di peringkat akhir penyakit dan perlu membersihkan buah pinggang mereka...ada dalam kalangan pesakit menghidapi buah pinggang ini disebabkan oleh secondary causes termasuk diabetes dan darah tinggi.

"Jadi kita minta pesakit ini sedar bahawa mereka kena berjaga-jaga dengan penyakit utama yang dihadapi supaya ia tidak berakhir dengan kegagalan buah pinggang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program khidmat masyarakat sempena Hari Buah Pinggang Sedunia dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Hari Buah Pinggang Sedunia disambut pada 2 Mac setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang.

Mengakui tahap kesedaran awam mengenainya masih rendah, Dr Zaliha berkata, pelbagai program kesedaran termasuk pemeriksaan kesihatan dan saringan ujian penyakit buah pinggang kepada rakyat dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meningkatkan penjagaan organ berkenaan.

Beliau berkata, ini kerana sudah tiba masanya sistem kesihatan negara kembali kepada konsep penjagaan kesihatan berbanding penjagaan pesakit sekali gus menjamin kehidupan yang lebih baik.

"Konsep itu mudah sahaja, kita kena cegah dari awal, jangan dah sakit baru nak ubati. Kita kena kesan lebih awal buat pemeriksaan, bukan hanya buah pinggang tetapi penyakit lain yang kadang-kadang boleh bawa kepada kerosakan buah pinggang. Ini adalah langkah pertama untuk sihat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KKM akan melancarkan Skim Perubatan Madani iaitu inisiatif khusus bagi golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik am dan swasta selewatnya-lewatnya sebelum Jun ini.

Beliau berkata, jawatankuasa teknikal ketika ini sedang memperhalusi perkara itu.

"Kita lihat banyak fasiliti KKM terutama jabatan kecemasan mengalami kesesakan, 70 peratus adalah kes Zon Hijau dan tidak kritikal, jadi kita kena alihkan mereka untuk dapatkan rawatan di klinik swasta berhampiran kerana fungsi kecemasan adalah untuk kes Zon Kuning dan Merah,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 baru-baru ini dilaporkan berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM120 juta untuk tujuan itu bagi membantu golongan B40 mendapatkan rawatan perubatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!