Bot nelayan langgar syarat ditahan
Bot nelayan langgar syarat ditahan
GEORGETOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang, menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C selepas didapati melanggar syarat sah lesen.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 7.7 batu nautika dari perairan Barat Daya Pulau Kendi pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Menurutnya, ketika ditahan seorang tekong lelaki warganegara Thailand berusia 44 tahun bersama tiga orang awak-awak warganegara Thailand berusia dalam lingkungan 47 hingga 51 tahun berada di dalam bot berkenaan.
"Dalam operasi itu, Maritim turut merampas dua pukat tunda gulung, ikan campur anggaran 500 kilogram dan ikan baja seberat 500kg.
"Kesemua mereka dibawa ke Jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.
Katanya, kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 12 batu nautika dari pantai terdekat.
"Maritim memandang serius pencerobohan perairan bagi aktiviti menangkap ikan kerana mampu menjejaskan ekosistem sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar komuniti tempatan bekerjasama dengan pihak Maritim dalam menyalurkan maklumat lengkap berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon penangkapan ikan oleh bot pukat tunda yang selalu menjadi rintihan nelayan pantai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!