Petani, penternak dinasihat lapor kerugian akibat banjir

Petani dan penternak di negeri ini yang mengalami kerugian akibat banjir dinasihatkan agar membuat laporan kepada Jabatan Pertanian untuk bantuan ganti rugi. - Foto: Bernama, gambar kecil: Zahari
Petani dan penternak di negeri ini yang mengalami kerugian akibat banjir dinasihatkan agar membuat laporan kepada Jabatan Pertanian untuk bantuan ganti rugi. - Foto: Bernama, gambar kecil: Zahari
A
A
A

SEGAMAT - Petani dan penternak di negeri ini yang kerugian akibat banjir dinasihat supaya membuat laporan kepada Jabatan Pertanian untuk bantuan ganti rugi.

Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, banjir yang berlaku sejak Rabu lepas turut menjejaskan golongan petani dan penternak lebih-lebih lagi Johor dikenali sebagai hab pertanian negara.

"Ramai (petani dan penternak) terkesan dengan kejadian banjir ini kerana selalunya mereka akan lebih bersedia, contohnya apabila masuk bulan November, Disember, Januari dan Februari, mereka akan menghentikan aktiviti pertanian terutamanya kawasan yang kerap banjir.

"Kali ini banjir berlaku hujung Februari dan awal Mac... petani ini baru mula tanam atau semai tanaman mereka, jadi mereka mengalami kerugian dan tidak bersedia.

"Jadi mereka yang terkesan ini diminta menghantar gambar dan laporan untuk tindakan selanjutnya," katanya selepas meninjau keadaan banjir di Buloh Kasap pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Buloh Kasap itu berkata, mungkin ramai yang keliru dengan bentuk bantuan yang disalurkan Jabatan Pertanian.

"Bantuan ini bukan berbentuk wang tetapi lebih kepada barangan dan jika pokok rosak, baja dan peralatan atau sebagainya kita akan ganti," katanya.

Zahari turut menasihatkan petani supaya menyertai Lembaga Pertubuhan Peladang kerana ahli yang terjejas akibat banjir akan menerima bantuan kewangan untuk ganti rugi.

Beliau berkata, hanya petani yang berdaftar sahaja layak menerima bantuan berkenaan.

Hujan lebat berterusan sejak malam Isnin menyebabkan Johor mengalami banjir yang disifatkan sebagai kritikal selepas merekodkan lebih 39,000 mangsa petang ini dengan Segamat daerah paling teruk terjejas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!