KWSP bakal asingkan skim syariah, beri pulangan lebih tinggi
SHAH ALAM - Pulangan skim simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diasingkan sepenuhnya pada 2024 dan dijangka memberi pulangan lebih tinggi kepada ahlinya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pemisahan skim syariah itu akan membolehkan kawalan terhadap Alokasi Aset Strategik (SAA) dibuat dengan lebih menyeluruh.
Menurutnya, ketika ini terdapat kawalan secara keseluruhan yang menetapkan had maksimum untuk KWSP melabur ke dalam kelas asetnya seperti ke dalam pendapatan tetap dan ekuiti bagi skim syariah.
"Apabila pecahkan kita boleh letak had yang lain untuk kedua-duanya dan peluang memberi pulangan lebih baik adalah tinggi.
"Jadi saya rasa kalau kita boleh buat begitu, kemungkinan kita boleh meningkatkan pulangan yang ada. Tapi kita harus ingat yang pulangan itu bukan datang daripada skim," katanya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Amir Hamzah turut memberi contoh, kalau pasaran saham naik banyak maka pulangan secara keseluruhan juga meningkat.namun tahun lalu pasaran tidak baik.
"Kalau macam itu, kita kena tangani isu ini. Jadi dari segi portfolio perlu pandai, kena seimbangkan portfolio kita, kalau yang ini (eklas aset) turun yang satu lagi bertahan, jadi kita boleh stabilkan (pulangan).
"Kita juga sudah buat banyak aktiviti untuk kenal pasti macam mana hendak uruskan aset selepas dipisahkan selain turut membuka cara lain agar kita dapat tingkatkan lagi aset yang boleh diklasifikasikan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!