Tindakan ke atas penjaja kerana degil, halang laluan - MPKB-BRI

Anggota penguat kuasa menegur penjaja kerana berniaga di selekoh dan simpang jalan. - Foto MPKB-BRI (Gambar dalam : Rosnazli)
Anggota penguat kuasa menegur penjaja kerana berniaga di selekoh dan simpang jalan. - Foto MPKB-BRI (Gambar dalam : Rosnazli)
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sudah beberapa kali memberi amaran dan peluang dalam tempoh lebih setahun kepada penjaja di Lembah Sireh di sini yang berniaga sehingga mengganggu lalu lintas, selain meninggalkan lori dan van buruk untuk dijadikan stor di kawasan itu.

Tindakan menjaja tanpa lesen itu bahkan turut menghalang pili bomba yang boleh mengundang kesukaran jika berlaku bencana seperti kebakaran.

Anggota penguat kuasa memberi teguran kepada peniaga. - Foto MPKB-BRI
Anggota penguat kuasa memberi teguran kepada peniaga. - Foto MPKB-BRI

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, tindakan penguatkuasaan dilakukan susulan aduan awam mendapati penjaja berniaga di dalam petak tempat letak kereta.

Katanya, penjaja juga menyebabkan kekotoran seperti sisa minyak menggoreng yang tumpah ke tar selain sisa makanan.

Sisa minyak yang tumpah mengotorkan kawasan. - Foto MPKB-BRI
Sisa minyak yang tumpah mengotorkan kawasan. - Foto MPKB-BRI

“Sebelum ini, penguat kuasa MPKB-BRI mengemukakan tiga notis dan dua kompaun kepada penjaja-penjaja tersebut.

“Mereka masih ingkar dan tetap berniaga seperti biasa hingga ada yang menghalang laluan dan berbahaya di simpang-simpang,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Sabtu.

Susulan itu, beliau berkata, satu operasi penguatkuasaan dilakukan pada Rabu lalu.

“Satu penjaja ingkar arahan manakala 12 yang lain akur dan memberhentikan jualan mereka.

Van buruk yang ditinggalkan di petak tempat letak kereta di Lembah Sireh, Kota Bharu. - Foto MPKB-BRI
Van buruk yang ditinggalkan di petak tempat letak kereta di Lembah Sireh, Kota Bharu. - Foto MPKB-BRI

“Saya nasihatkan penjaja supaya memohon lesen penjaja dan berpindah ke tempat sesuai yang sah untuk berniaga di sisi undang-undang kerana niaga di tempat letak kereta adalah satu kesalahan, sementara tanah kosong berhampiran itu pula adalah milik syarikat persendirian,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!