Noh Omar puji Tun M gantung keahlian pemimpin ada kes mahkamah
PUTRAJAYA - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar memuji Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berpegang kepada prinsip dengan menggantung keahlian pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah ketika bergelar Presiden UMNO.
Noh berkata, ketika itu mana-mana pemimpin yang didakwa di mahkamah secara automatik digantung keahlian walaupun tindakan itu tidak termaktub dalam Perlembagaan parti.
"Zaman Tun jadi presiden parti, mana-mana pemimpin parti bila kena dakwa, automatik di gantung (keahlian) tak kiralah (Dr Mohamad) Khir Toyo atau (Tan Sri Abdul) Rahim Thamby Chik.
"Tapi hari ni dah terbalik, yang ada kes (mahkamah) terus dapat jawatan, terus menang tak bertanding," dakwanya pada program Bersama Tun M: Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang? di Mini Townhall, Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) pada Sabtu.
Program itu julung kali menggandingkan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu bersama Dr Mahathir dan bekas Pesiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin.
Pada 27 Januari lalu, media melaporkan Noh dipecat daripada UMNO selepas beliau mempertikaikan penggantungannya sebagai ahli parti itu selama enam tahun.
Mengulas lanjut, Noh berkata, prinsip yang dipegang Dr Mahathir itu juga membuatkan pegawai kerajaan pada zaman beliau menghormati pemimpin UMNO.
"Tapi sekarang bagaimana pegawai kerajaan nak hormat pemimpin UMNO sebab pemimpinnya yang sedang dibicara (di mahkamah) terus jadi Timbalan Perdana Menteri. Jadi bagi saya di situ UMNO dah hilang perjuangan mereka," dakwanya.
Sementara itu, pada sidang akhbar selepas program itu berakhir, Noh memberitahu, beliau setakat ini belum menerima tawaran untuk menyertai mana-mana parti.
"Jadi saya akan terus jadi penceramah bebas di mana-mana sahaja," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!