Sastera dan Belanjawan Madani

Noli Me Tangere merupakan karya agung Jose Rizal yang dikenang sepanjang zaman.
Noli Me Tangere merupakan karya agung Jose Rizal yang dikenang sepanjang zaman.
A
A
A

MENGAMBIL kata-kata tokoh agung Melayu, Jose Rizal seperti yang dinukilkan dalam novelnya Noli Me Tangere; “Aku tidak menulis untuk generasi ini. Aku menulis untuk zaman yang lain. Jika generasi ini membacaku, tentunya mereka akan membakar sekalian bukuku dan segala tulisanku.

Sebaliknya, generasi yang mampu menafsirkan tulisan ini, mereka akan menjadi generasi yang terpelajar; mereka akan memahamiku dan berkata: “Tidak semua nyenyak tidur dalam kepekatan malam pada zaman moyang kita.”

Petikan frasa ini terpapar dalam buku Madani karya Anwar Ibrahim (2022:167) lantas penulis terpanggil untuk mengaitkannya dengan peruntukan yang disediakan oleh beliau (Kementerian Kewangan) dalam sektor seni budaya, karya kreatif dan bahasa dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.

RUU perbekalan dikenali sebagai Belanjawan Negara adalah pengagihan peruntukan untuk dibelanjakan bagi tahun semasa 2023.

Justeru, buat pertama kali dalam sejarah sektor seni budaya, karya kreatif dan bahasa diperuntukkan dana sebanyak RM102 juta untuk Kandungan Digital (KD), RM25 juta bagi kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti, RM20 juta untuk penerbitan karya kreatif dan bahasa yang dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Karyawan di samping peruntukan RM10 juta bagi menampung kos penerbitan dan pengedaran 20,000 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama di dunia yang dikelola oleh Yayasan Restu.

Pecahan peruntukan Belanjawan 2023 sebanyak RM45 juta bagi kegiatan kebudayaan, kesenian termasuk aktiviti bahasa dan sastera malah melebar kepada penerbitan karya kreatif oleh DBP, ITBM dan Yayasan Karyawan akan menyegar dan menyuburkan arena sastera tanah air pada tahun ini.

Badan-badan penulis, bahasa dan sastera sewajarnya mampu menggerakkan kreativiti masing-masing dalam penyegaran kegiatan sastera yang selama ini hidup segan mati tak mahu.

Hari sastera, majlis baca puisi, pementasan teater, dendangan lagu-lagu puisi, seminar, kolokium sastera, bicara buku dan sebagainya termaktub dalam pakej kegiatan kebudayaan dan kesenian Belanjawan Madani Anwar.

DANA

Pemain-pemain sastera tidak lagi gusar apabila memikirkan tentang dana, sebaliknya harus mewujudkan rangkaian rahmah dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk meraih peruntukan yang disediakan.

Belanjawan Madani tidak memperincikan penggunaan dana tetapi pemain-pemain sastera itu sendiri harus bijak memikirkan apakah bentuk kegiatan bagi melunaskan peruntukan secara berhemah tetapi bermanfaat dalam tempoh berbaki sembilan bulan ini.

Pemain-pemain sastera perlu memperoleh ketangkasan dan kemahiran badan-badan penulis, bahasa dan sastera bagi melaksanakan kegiatan yang dimaksudkan dalam Belanjawan Madani. Perlu diingat, jangan harus kendalian dan keurusetiaan pelaksanaan program diserahkan bulat-bulat kepada syarikat sendirian berhad.

Ia gagal memenuhi matlamat, sebaliknya tercipta sejarah kegagalan yang dikenang orang sepanjang zaman.Jangan mencipta sejarah kegagalan walhal kita membuat program semata-mata untuk menyanjung kehormatan kelompok, ini perilaku tidak madani.

Madani adalah satu visi kerangka dasar reformasi untuk membangunkan negara. Anwar Ibrahim telah melakarkan dasar madani sebanyak enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan yang harus diterapkan dalam sebarang pelaksanaan aktiviti dan program kebudayaan, kesenian, bahasa dan sastera.

Anwar berkata: “Kita boleh bergerak dengan menerima kenyataan bahawa ‘keadaan berubah’; atau kita boleh juga memilih untuk ‘merubah keadaan’.

Sindrom keadaan-berubah memaksa kita mengambil langkah-langkah sementara sebagai reaksi terhadap perubahan persekitaran, sementara merubah-keadaan dalam kerangka jangka masa panjang memerlukan penakkulan yang jernih dan tindakan yang rasional melalui proses berfikir berterusan dan sistematik, berdasarkan nilai dan norma yang jelas, serta meneliti matlamat-matlamat yang dirumus dari kesepakatan rakyat.” (From Things Change to Change: 21).

Demikian nasihat Perdana Menteri ke-10 apabila hendak melakukan sesuatu tindakan dan pelaksanaan program bagi kesejahteraan pemegang taruh.

Jose Rizal dalam novelnya, Noli Me Tangere mengungkap, “aku menulis untuk zaman yang lain” bermaksud sesuatu yang akan dilakukan harus mengambil kira kehendak zaman mendatang kerana karya yang dicipta itu untuk pemegang taruh zaman baharu atau bukan generasi hari ini.

ESTETIKA BERSEPADU

Lantaran itu, dana RM20 juta untuk penerbitan karya sastera kendalian DBP, ITBM dan Yayasan Karyawan selain menerbit semula karya agung seperti buku-buku karangan Iqbal, Nurudin al-Nariri dan sebagainya harus juga diagihkan untuk sayembara menulis novel madani bagi melahirkan karya sastera yang memfokuskan kerangka dasar reformasi untuk pemegang taruh zaman akan datang.

Melalui novel, konsep dan visi madani dapat diolah secara santai yang disulami estetika bersepadu, tidak membosankan dari segi pembacaan. Penulisan novel dalam bentuk fizikal berbanding digital masih perlu diusahakan kerana pemegang taruh generasi mendatang dapat menikmati karya itu yang kekal tersimpan mantap daripada bentuk digital yang terdedah kepada kelemahan penyimpanan maya.

Novel adalah karya sastera yang ‘hidup’ sepanjang zaman seperti Noli Me Tangere (Touch Me Not) ditulis pada tahun 1887 masih dibaca pada zaman sekarang. Noli Me Tangere karangan Jose Rizal, seorang doktor mata berketurunan Melayu. Novel itu mengecam ketidakadilan berlaku semasa penjajahan Sepanyol di Filipina.

Atas fakta ini, hasil sayembara novel madani mampu melahirkan novel setanding Noli Me Tangere yang mengungkapkan makna madani iaitu maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (bukan masyarakat, generasi dan sebagainya) usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan, manhaj itu terarah kepada pembinaan masyarakat.

Dana yang diperuntukkan RUU perbekalangan itu, sudah cukup untuk menawarkan hadiah utama sayembara menulis novel dengan nilai sejuta ringgit di samping hadiah eceran untuk sagu hati. Ayuh pemain-pemain sastera, bergerak sederap untuk mencipta sejarah tidak terungkapkan oleh generasi yang bakal kita tinggalkan.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!