KL City, TFC buru kemenangan

Bojan Hodak
Bojan Hodak
A
A
A

DUA pasukan berprofil tinggi, Kuala Lumpur City (KL City) FC dan Terengganu FC (TFC) mahu segera bangkit daripada permulaan hambar selepas dua aksi Liga Super yang sudah dilalui mereka.

Kedua-dua pasukan masih belum meraih sebarang kemenangan dengan KL City yang berstatus naib juara Piala AFC musim lalu hanya mampu seri dalam aksi pertama Liga Super menentang Penang FC 2-2 sebelum tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) 0-3.

Sementara itu, TFC pula yang menjadi naib juara liga musim lalu tewas dua perlawanan berturut-turut kepada JDT 0-2 dan Kedah Darul Aman (KDA) FC 0-1.

Usaha KL City dan TFC untuk memburu kemenangan pertama musim ini menjadi lebih menarik apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu sesama sendiri dalam aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad.

Pengendali KL City, Bojan Hodak mahu para pemainnya memburu tiga mata di Kuala Terengganu walaupun sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar buat pasukan ibu kota itu.

"Ia akan menjadi tugas berat buat KL City kerana Terengganu amat kuat di laman sendiri. Namun, ia bukan alasan kerana setiap perlawanan, kami akan hadir dengan misi untuk menang tidak kira sesukar mana pun perlawanan tersebut.

"Dalam masa sama, kami memang amat memerlukan kemenangan selepas masih belum mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan. Kami juga sedar Terengganu tidak sama seperti tahun lalu kerana mereka telah memperkuatkan pasukan," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Dalam pada itu, pengendali TFC, Tomislav Steinbrukner melaungkan amaran bahawa pasukan pantai timur itu akan bangkit untuk melakar kemenangan selepas permulaan yang tidak seperti diharapkan.

Tomislav Steinbrukner
Tomislav Steinbrukner

"Selepas tewas kepada JDT dan Kedah, kami tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk menang dengan KL City FC, bagi kedudukan lebih baik di Liga Super.

"Jadi ia satu perlawanan besar dan penting selepas dua perlawanan di tempat lawan. Saya percaya dan berharap para pemain dapat lakukan yang lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!