KBS perkasa semula program Rakan Muda
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memperkasakan semula program Rakan Muda menerusi pelbagai penambahbaikan agar dapat memberi impak lebih menyeluruh dan positif kepada golongan belia.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, penambahbaikan itu meliputi pembangunan potensi dan pembentukan karakter belia, pembangunan potensi, dan semangat kesukarelawanan berdasarkan keperluan mereka serta perkembangan semasa dunia.
"Program Rakan Muda masih berjalan namun kita mahu ia menjadi satu daripada program utama KBS sekali gus kembali menjadi program flagship (kemegahan) kementerian agar dapat mengembalikan semangat asal Rakan Muda.
"Menerusi usaha ini, masyarakat boleh mendapat manfaat terutama belia yang masih bersekolah dan golongan NEET (belia tercicir dari pekerjaan, pendidikan dan latihan formal) seperti mereka yang baharu tamat persekolahan atau mempunyai masa untuk meneroka minat masing-masing," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Neon Night Fun Run and Run Walk yang disertai kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan umur di Dataran Sejarah Ayer Keroh.
Adam Adli berkata, usaha memperkasakan program Rakan Muda itu akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak seperti persatuan belia dan sukan sedia ada di negara ini.
Rakan Muda adalah program pemupukan minat, penggilapan bakat dan penyerlahan potensi diri melibatkan belia berumur 15 hingga 25 tahun yang diperkenalkan kerajaan pada 1994.
Visi pelaksanaan program itu ialah melahirkan belia positif yang berdaya saing, berketrampilan dan bertanggungjawab dalam membina masa depan negara bagi mencapai matlamat Dasar Belia Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Adam Adli berkata, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) di setiap negeri diminta bergerak lebih kreatif dalam melaksanakan program riadah, rekreasi, sukan dan santai yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat sekali gus membudayakan gaya hidup sihat.
"Kita tahu peruntukan yang disalurkan kepada JBS selalunya tidak sebesar kementerian lain dan kita mahu dengan perbelanjaan minimum, aktiviti berimpak besar dapat dilaksanakan seperti Fun Run kerana kebiasaannya mendapat sambutan menggalakkan.
"Program ini boleh dilaksanakan di kawasan perumahan atau penduduk setempat seperti senamrobik, zumba atau permainan tradisonal bagi melahirkan masyarakat yang aktif," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!