Untuk bangsawan, kain kafan RM219 semeter kini ada di pasaran
JAKARTA - Barangkali, tidak pernah terlintas di fikiran sebahagian besar daripada kita bahawa kain kafan untuk membaluti jenazah juga mempunyai gred yang berbeza.
Sangkaan kita tentu sekali kain kafan bewarna putih yang harganya tidak pula semahal mana.
Namun, dalam dunia moden hari ini, kain kafan untuk jenazah sebetulnya sudah dijual pada harga yang sangat luar biasa.
Ditakrif sebagai kain kafan jenazah bangsawan, seorang peniaga di Indonesia mencuri tumpuan ramai berikutan hasil jualan itu difahamkan mendapat sambutan luar biasa khususnya daripada golongan ahli Parlimen negara jiran itu.
Berdasarkan laporan portal berita Indonesia, Suara.com, wanita bernama Suryani itu menjual kain kafan mewah pada harga 750,000 rupiah (RM219) semeter.
Katanya, di daerah Jeneponto, wilayah Sulawesi Selatan, kain kafan dipanggil sebagai tope.
Tope bukan sahaja digunakan untuk mengafankan jenazah, bahkan, material itu juga oleh menghasilkan pakaian seperti jubah, tudung, beg dan kipas.
“Harganya mencecah Rupiah 1.7 juta (RM498) apabila sudah menjadi baju. Ramai pembelinya adalah daripada anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR),” kata Suryani.
Suryani berkata, kain kafan itu diperbuat daripada kapas asli yang dipintal menjadi benang.
“Proses penghasilannya mengambil masa dua bulan untuk menjahit satu pakaian, maka, ia dijual mahal,” ujarnya.
Kata Suryani, kain kafan tersebut digunakan untuk membaluti jenazah keturunan bangsawan, justeru menyebabkan, kebanyakan orang beralih kepada kain putih kerana perbezaan harga yang ketara.
Kain kafan atau tope dihasilkan di wilayah Kelara, Jeneponto oleh sekitar 50 wanita tempatan yang terlatih.
Usaha Suryani menjual tope adakah kerana ingin meneruskan kelansungan penggunaan kain kafan itu yang disifatkannya sebagai hampir ketinggalan zaman. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!