'Saya tak akan khianati Umno'
SEREMBAN - “Saya tidak akan lompat parti...” demikian tegas Timbalan Presiden Umno, Datuk Sri Mohamad Hasan, selepas gambar beberapa pemimpin tertinggi Umno termasuk beliau bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi tular sejak malam tadi.
Menurut Mohamad, gambar tersebut adalah foto lama yang diambil pada bulan September lalu dan tiada kaitan dengan kes yang berlaku di Sabah.
Katanya, gambar itu diambil tiga bulan lalu ketika beliau dan beberapa pemimpin tertinggi parti bertemu Dr Mahathir bagi menghalang tindakan mengharamkan Umno.
“Itu adalah gambar lama, kunjungan hormat saya bersama ahli MT Umno untuk berbincang politik semasa, termasuklah meminta penjelasan mengenai kenyataan Tun M di New York yang berkata Umno akan berkubur.
“Saya meminta supaya Tun M tidak membubarkan Umno, dan saya sendiri tidak akan lompat parti serta tidak akan mengkhianati Umno,” katanya kepada Sinar Harian, tadi.
Tambahnya, foto itu tiada kaitan dengan insiden Ahli Parlimen di Sabah keluar parti (semalam).
Katanya, parti itu setakat ini memiliki 43 kerusi selepas 11 ahli Parlimennya meninggalkan Umno.
Terdahulu, sejak malam tadi, tular gambar di laman social, termasuk Facebook dan aplikasi WhatsApp menunjukkan Mohamad, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin makan malam bersama Dr Mahathir.
Selain itu, gambar pemimpin berkenaan sedang menikmati makan malam juga turut ditularkan.
Ia menarik perhatian ramai pengguna laman sosial dan ada yang mendakwa ia adalah bukti ada pemimpin Umno yang mahu keluar parti dan ada juga menganggap mereka mahu meminta pertolongan daripada Dr Mahathir.
Selain itu, ia turut menimbulkan spekulasi kononnya beberapa pemimpin Umno kini dalam persiapan untuk keluar parti secara beramai-ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!