Pesilat Sarawak 'terbang tinggi' di Kuching

Nor Azeman (kiri) melangkah ke final acara Putra B junior selepas mencatatkan kemenangan ke atas Muhd Ridzqi pada kejohanan SPISC di Kuching pada Sabtu.
Nor Azeman (kiri) melangkah ke final acara Putra B junior selepas mencatatkan kemenangan ke atas Muhd Ridzqi pada kejohanan SPISC di Kuching pada Sabtu.
A
A
A

SRIKANDI Bumi Kenyalang terus terbang tinggi pada kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023 yang semakin hampir untuk melabuhkan tirainya di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching pada Sabtu.

Dalam saingan yang sudah memasuki hari keempat itu, barisan pesilat Sarawak terus mencipta kecemerlangan dan sebahagian besar wakilnya sama ada dalam kategori senior mahupun junior, berjaya mengesahkan tempat mereka ke final yang dijadualkan pada Ahad.

Kejayaan tersebut membuktikan bahawa persediaan mereka untuk menghadapi SPISC 2023 sangat berbaloi tanpa mensia-siakan peluang bagi membuktikan ketangkasan mereka di hadapan penonton sendiri.

Pencapaian yang mereka lakarkan itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang sempat meluangkan masanya meninjau perjalanan penganjuran SPISC 2023.

Ketika lawatan singkat beliau ke venue kejuaraan, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi sempat menyaksikan beberapa perlawanan membabitkan aksi pesilat Sarawak yang bertarung di peringkat separuh akhir.

Beliau berbangga kerana para pesilat dari negeri Bumi Kenyalang itu telah mempamerkan kesungguhan serta semangat kesukanan yang tinggi.

Ditanya mengenai prestasi pesilat muda Sarawak, Josh Chua yang menentang Muhammad Amirul Hakim Jaaffar (Melaka) pada saingan peringkat separuh akhir kategori Putra C junior, Fadillah kagum melihat aksi yang dipersembahkan oleh dua pesilat itu.

Dalam pertarungan tersebut pesilat tuan rumah menang tipis 35-32, sekali gus mengesahkan tempatnya ke final pada Ahad.

“Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan saling menghormati antara satu sama lain. Saya lihat Josh Chua juga mempunyai kemahiran yang tinggi.

"Dia masih muda dan skil juga bagus. Malah beberapa orang pesilat junior kita turut berjaya melangkah ke peringkat akhir dalam acara masing-masing dan ini membuktikan Sarawak berada di landasan yang tepat untuk meraih kejayaan pada kejuaraan ini," tambah beliau.

Fadillah bangga dengan pencapaian pesilat Sarawak yang mempamerkan kesungguhan serta semangat kesukanan tinggi sepanjang Kejuaraan Silat Premier Antrabangsa Sarawak 2023.
Fadillah bangga dengan pencapaian pesilat Sarawak yang mempamerkan kesungguhan serta semangat kesukanan tinggi sepanjang Kejuaraan Silat Premier Antrabangsa Sarawak 2023.

Beliau juga berharap agar barisan atlet Sarawak mencapai kejayaan cemerlang pada SPISC kali ini, sekali gus meningkat prestasi sukan silat di Sarawak agar lebih berdaya saing dalam apa juga kejuaraan akan datang.

Fadillah turut memuji usaha kerajaan Sarawak menerusi Rumpun Silat Sarawak (RSS) untuk menganjurkan acara bertaraf antarabangsa seperti SPISC 2023 di negeri Bumi Kenyalang dan langkah tersebut secara tidak langsung akan mempromosi negeri ini ke pentas dunia selain merancakkan pembangunan sukan silat.

“Kami di peringkat kepimpinan akan sentiasa menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai program terutama aktiviti sukan yang merupakan antara alat penting untuk menyatukan rakyat. Kita juga meletakkan keyakinan yang tinggi kepada RSS untuk menarik lebih ramai generasi muda melibatkan diri dalam sukan seni silat,” ujar beliau.

Hari cemerlang kontinjen tuan rumah bermula dengan langkah kanan apabila wakilnya, Nor Azeman Pie’e berjaya melangkah ke final acara Putra B junior selepas mencatatkan kemenangan 28-14 ke atas atlet Singapura, Muhd Ridzqi Mohd Fadzil.

Kecemerlangan tersebut diteruskan oleh Nur Hazeerah Syafiqah Suffian yang menang mudah 43-27 ke atas pesilat Singapura, Nur Izzah Johanis dalam kategori Putri B senior.

Kem Sarawak terus ceria apabila Mohd Ashraf Amirul Razaman turut mengesahkan tempatnya ke final hasil kemenangan 56-36 ke atas pencabarnya Muhammad Ridzuan Nasir (Pahang) dalam kategori Putra D senior

Ia kemudian diikuti kemenangan 60-15 menerusi Muhd Azrie Muhammad Azuan Tiong dalam kategori Putra Terbuka senior ke atas atlet Filipina, Stephen Suazo.

Kontinjen Sarawak sudah mengesahkan kemenangan pingat emas dan perak dalam acara seni Ganda Putra senior apabila mereka bertarung sesama sendiri di final.

Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 akan melabuhkan tirai pada Ahad dan ia bakal menjadi detik penentuan kontinjen yang akan membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah AS$20,000 (RM89,500) serta tali pinggang kejuaraan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!