Dikhuatiri lemas selepas cuba selamatkan anak saudara

Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa. - Foto ihsan APM
Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa. - Foto ihsan APM
A
A
A

BACHOK - [DIKEMAS KINI] Percutian sebuah keluarga berakhir tragedi menyayat hati apabila seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya dalam kejadian di Pantai Kemayang di sini pada Ahad.

Dalam kejadian pada jam 7.54 pagi itu, mangsa Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12 dilaporkan hilang manakala kakaknya, Nurul Afiqah, 19 dan anak sudaranya, Muhammad Nabil Irfaan Ismail Mokhtar, 11, yang tergelincir dalam kejadian itu berjaya diselamatkan.

Kakak dua beradik berkenaan, Nurul Syaqira Mohamad, 30, berkata, mereka sekeluarga dari Wakaf Che Yeh tiba di pantai itu pada Sabtu dan menginap di sebuah resort sempena musim cuti persekolahan.

Kejadian berlaku ketika mereka bersama ahli keluarga lain turun ke pantai dan bermain di gigi air sementara Muhammad Nabil Irfaan pergi ke kawasan berbatu.

Muhammad Nabil Irfaan yang sedang duduk secara tiba-tiba tergelincir jatuh ke dalam laut menyebabkan Nurul Afiqah dan Ahmad Fadhlullah terjun untuk menyelamatkannya.

“Kesemua mereka yang tidak tahu berenang dihanyutkan arus. Saya yang tidak tahu berenang juga terus terjun ke laut bagi menyelamatkan Muhammad Nabil Irfaan dan berjaya membawanya ke daratan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurutnya, dalam keadaan cemas dia meluru semula ke laut untuk menyelamatkan adik-adiknya yang lemas dan menemukan Nurul Afiqah di tepi batu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Saya beri bantuan CPR (resusitasi kardiopulmonari) kepada Nurul Afiqah dan mulai sedar selepas beberapa kali bantuan diberikan.

“Saya sekali lagi pergi ke laut untuk menyelamatkan Ahmad Fadhlullah namun tidak dapat melihat keberadaannya dan dikhuatiri lemas hingga kini (petang Ahad),” katanya.

Wanita itu memberitahu mereka sekeluarga amat mengharapkan jasad Ahmad Fadhlullah segera ditemukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!