Projek tebatan banjir RM600 juta ke atas akan disegerakan - PM
SEGAMAT - [DIKEMAS KINI] Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) terutama di Johor perlu disegerakan operasinya bermula Jun tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses tender projek tebatan banjir berkenaan harus disegerakan bagi mengelakkan bencana banjir berulang pada masa akan datang.
"Banjir ini bukan kali pertama, bertahun-tahun dan di sini sudah dua kali banjir besar. Oleh itu, kita putuskan projek mahal RM600 juta atau lebih untuk RTB akan disegerakan. Itu kita lulus dan akan segerakan.
"Tempoh hari saya tangguh sebentar (projek RTB) kerana kita tidak mahu peruntukan untuk bantu rakyat ada ketirisan, ada kecurian. Kita perlu proses tender walau disegerakan. Semua projek RTB yang diluluskan harus semuanya beroperasi mulai Jun ini. Jadi tak boleh dilengahkan lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Tengah di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata, enam projek tebatan banjir sebelum ini ditangguhkan sebentar kerana tidak mahu berlaku ketirisan berhubung peruntukan membantu rakyat meskipun proses tender itu disegerakan.
Pada 5 Disember lalu, beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion, dilaporkan tidak diteruskan.
Anwar dilaporkan berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Menteri Besar ada memaklumkan beberapa projek baharu berkaitan tebatan banjir yang diperlukan di Johor.
"Saya dimaklumkan oleh kerana kerajaan boleh jimatkan beberapa kos antara RM1 hingga 2 bilion dari projek lama, wang itu boleh dipindahkan untuk memulakan projek baharu.
"Projek baharu itu setakat ini membabitkan Segamat, Kota Tinggi dan kawasan kritikal dilanda banjir lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!