Jersi JDT dicalon antara terburuk bulan Februari
JERSI 'home' baharu juara sembilan kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) disenaraikan antara jersi terburuk untuk bulan Februari tahun ini.
Laman sesawang antarabangsa, Footy Headlines mencalonkan jersi JDT tersebut bersama 19 lagi jersi dari seluruh dunia dan peminat bola sepak boleh mengundi untuk pemilihan jersi terburuk itu melalui laman tersebut.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kelab bukan sahaja mengeluarkan dua atau tiga kit baharu setiap musim tetapi juga banyak kit edisi khas.
"Dengan begitu banyak kit istimewa dan baharu yang dikeluarkan oleh pelbagai jenama, sesetengahnya pasti menjadi kurang memberangsangkan atau tidak diperlukan.
"Untuk Februari 2023, kami telah mencalonkan 20 kit yang tidak begitu menarik," tulis Footy Headlines.
Selain jersi JDT, beberapa kelab terkemuka juga tidak terlepas daripada dicalonkan seperti Pasukan Liga Utama Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS), Toronto FC; pasukan Jerman, RB Leipzig dan pasukan dari Liga Jepun, Urawa Red Diamonds.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini pernah menjelaskan bahawa jersi bukan perkara yang penting buat kelab tersebut.
Sebaliknya, kelab itu hanya menumpukan untuk berjaya dalam semua aspek termasuk infrastruktur sukan tercanggih, teknologi dan juga kejayaan dalam padang selain pencapaian dan rekod.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!