Isu ceramah: Kerajaan Selangor tak campur tangan
KUALA LANGAT - Kerajaan negeri Selangor nafi campur tangan dalam keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu larangan penceramah bebas mengadakan ceramah di surau atau masjid di negeri berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat di bawah kearifan bidang kuasa JAIS termasuk dari segi pendaftaran dan pemeriksaan yang dikelolakan oleh Bahagian Pentauliahan agensi itu.
"Ustaz Mohamad Wadi (penceramah bebas) kena tanya Pengarah JAIS, saya tidak pasti sebab program sedemikian di bawah kelolaan JAIS.
"Saya tidak pasti sebab hal-hal ini adalah hal teknikal sebab pendaftaran, pemeriksaan itu semua dikelolakan oleh JAIS Bahagian Pentauliahan dan biasanya mereka ada perinciannya," katanya ketika ditemui pada Program #KitaSelangor Penyayang di Banting Waterfront di sini pada Ahad.
Pada Ahad, pentadbir laman Facebook penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub memaklumkan semua ceramah Mohamad Wadi di Selangor dibatalkan manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diteruskan.
Ceramah yang dibatalkan di Selangor itu dijadualkan berlangsung pada 10 Mac di Masjid Salahuddin Abdul Aziz dan 11 Mac di Padang Astaka Tanjung Karang.
Dalam pada itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shazihan Ahmad ketika dihubungi Sinar Harian berkata, semua individu yang mengajar tentang agama di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Menurutnya, ketetapan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.
"Kita seorang yang beragama perlu menghormati sistem, jika permohonan (untuk mengadakan ceramah dibuat) masih dalam proses kena tunggu sehingga ia selesai.
"Mana boleh hanya sebab jika dia 'public figure' dan semua proses itu perlu dipendekkan, kita kena hormat semua pihak dan juga perlu menghormati sistem yang telah ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!