6 sebab parti politik kampus rosakkan demokrasi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) menyatakan enam sebab penubuhan cawangan parti politik di kampus akan merosakkan demokrasi kampus termasuk menghilangkan pengaruh gerakan mahasiswa selain memberi ruang campur tangan politik.

Angkatan Mahasiswa UM dalam kenyataan mendakwa penubuhan cawangan parti politik di kampus merupakan satu langkah mundur yang akan merosakkan demokrasi pilihan raya kampus (PRK).

Dakwa kenyataan itu lagi, ini kerana parti politik nasional tidak seharusnya masuk campur hal ehwal mahasiswa di kampus atas alasan penyuburan demokrasi.

"Jadi kita ingin menyatakan enam sebab mengapa penubuhan cawangan parti politik di kampus akan merosakkan demokrasi kampus.

"Pertama sekali adalah melemahkan parti yang tidak didanai oleh parti politik nasional sekali gus menghilangkan pengaruh gerakan mahasiswa.

"Seterusnya, parti politik kampus akan menjadi gelanggang perlawanan antara cawangan parti nasional mahasiswa selain memberi ruang campur tangan politik dalam kampus.

"Ia juga melemahkan kesatuan mahasiswa kerana pelajar akan mengikut telunjuk parti politik nasional dan kemudian mahasiswa akan menjadi tunggangan parti politik nasional," katanya.

Tambah kenyataan itu, akhir sekali menjadikan universiti dan kampus kini sebagai tempat perkaderan parti politik nasional secara besar-besaran selain akan membantutkan kemandirian mahasiswa.

"Ia bermaksud dengan mendoktrinasikan pemikiran mahasiswa yang dijalankan oleh parti politik nasional," ujarnya.

Dakwa kenyataan itu, Angkatan Mahasiswa UM juga mempersoalkan adakah penubuhan cawangan parti politik di kampus antara sebab menyebabkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak mahu memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

"Angkatan Mahasiswa melihat bahawa pihak KPT seolah-olah 'ada udang di sebalik batu'. Kita bukanlah ingin menuduh pihak KPT dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

"Tetapi ingin minta penjelasan yang terperinci daripada pihak KPT," katanya.

Dakwa kenyataan itu lagi, Angkatan Mahasiswa UM melihat bahawa tindakan KPT mempertimbangkan penubuhan cawangan parti politik di kampus jelas merupakan pembonekaan demokrasi.

"Bukan itu sahaja, Angkatan Mahasiswa ingin mengajak wakil gerakan mahasiswa lain untuk bersama-sama terus menyoal dan menekan pihak KPT bagi memberikan jawapan berhubung kenyataan Menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Parlimen pada Khamis lepas," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan KPT tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan penubuhan cawangan parti politik di kampus selari dengan agenda pindaan AUKU.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kelonggaran itu juga selaras dengan usaha untuk menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan amalan politik matang terutamanya melibatkan golongan muda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!